Nasib Nhaveen Mendapat Perhatian AR Rahman


KUALA LUMPUR - Mangsa kes buli, T. Nhaveen yang meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah setelah dipukul sekumpulan remaja pada Sabtu lalu, mendapat perhatian daripada idolanya, komposer muzik tersohor India, A.R Rahman.

Kira-kira sejam sebelum remaja berusia 18 tahun itu meninggal dunia, pemenang Oscar dan komposer ‘Jai Ho’ untuk filem ‘Slumdog Millionaire’ itu telah memuat naik status di laman Twitter beliau mendoakan kesihatan Nhaveen segera pulih.

“Nhaveen, saya mendoakan semoga anda segera pulih.

“Semua jenis perbuatan tidak berperikemanusiaan harus berakhir dan masyarakat perlu sedar mengenainya,” katanya di laman Twitternya, baru-baru ini.

Baru-baru ini, sebuah laporan portal berita memetik ibu saudara Nhaveen sebagai berkata, remaja tersebut bercita-cita menjadi komposer muzik terkenal seperti AR Rahman.

Menurut ibu saudaranya, Nhaveen juga dalam perancangan untuk mendaftar di sebuah kolej dalam kursus penggubahan lagu.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang bertanggungjawab atas kematian Nhaveen.

Perdana Menteri turut melahirkan rasa sedih ketika menerima berita kematian remaja itu.

Nhaveen yang dibuli dan dipukul sekumpulan remaja di Jalan Kaki Bukit, Gelugor, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya menerima maklumat daripada HPP mengenai kematian Nhaveen pada pukul 6 petang.

Mangsa yang koma sejak dimasukkan ke hospital, meninggal dunia akibat kecederaan parah termasuk mengalami kesan koyakan di dubur akibat ditusuk objek tumpul.

Dalam kejadian pukul 2.10 pagi Sabtu lalu, Nhaveen cedera parah selepas diserang sekumpulan lelaki manakala rakannya berusia 19 tahun melarikan diri untuk mendapatkan pertolongan. 

Sumber : Utusan Online