KUALA PILAH - “Sepatutnya Ramadan adalah waktu mendekati Allah bukan melakukan jenayah hingga menyusahkan masyarakat,” kata penduduk Kampung Pasir Ambor, Ahmad Fitri Yahya, 21, menceritakan kejadian neneknya, Zainab Baba, 79 yang diragut, kelmarin.
Ahmad Fitri berkata, ketika kejadian jam 11.30 pagi, neneknya berjalan kaki di hadapan rumah sebelum didatangi seorang lelaki yang menaiki Proton Wira sambil bertanya arah jalan.
Katanya, sebaik menunjukkan laluan, lelaki 30-an itu merentap rantai dan gelang emas dipakai neneknya hingga berlaku pergelutan.
“Penjenayah tidak memikirkan keadaan warga emas menyebabkan nenek terjatuh di jalan lalu melarikan diri ke arah Kampung Sungai Talan, di sini,” katanya.
Menurutnya, neneknya pulang ke rumah dalam kedaan menggigil dan menceritakan kejadian kepada bapa saudaranya.
“Pak cik bergegas ke lokasi, namun penjenayah menghilangkan diri,” katanya laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah, di sini selepas kejadian.
Ahmad Fitri berkata, neneknya yang masih trauma tidak cedera namun kerugian RM5,000.
“Perkara menyedihkan apabila gelang emas itu baru seminggu dibeli, manakala rantai pula lebih 10 tahun dalam simpanan,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok mengesahkan menerima laporan dan pihaknya giat memburu suspek mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Haslah menasihatkan penduduk di daerah ini supaya tidak memakai banyak barang kemas ketika berjalan bersendirian bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Sumber: Harian Metro