NestinBox Reka Bentuk Kediaman Inovatif Tebing Curam


STOCKHOLM – Arkitek Sweden tampil dengan reka bentuk kediaman inovatif yang dibina di tebing curam di kawasan pergunungan dan dipercayai dapat menyelesaikan krisis rumah di bandar-bandar utama di dunia.

Mail Online melaporkan, dari jauh, kediaman yang masih pada peringkat konsep itu kelihatan seperti rumah pokok namun apabila diamati secara dekat, ‘konsep’ tersebut adalah sebuah rumah tiga tingkat yang berkeluasan 50 meter persegi.

Reka bentuk moden kediaman yang digelar ‘NestinBox’ itu adalah kerjasama antara Mo­derna Trahus (Modern Woodenhouses) dan arkitek, Elisabetta Gabrielli dan Pontus Oi’hman.

Premis itu bagaimanapun dibina untuk seorang atau dua individu dan mempunyai dua dan setengah bilik, sebuah dapur serta ruang tamu.

Rumah itu turut mempu­nyai sebuah studio atau ruang pejabat yang didatangkan de­ngan tangga pilin.

Menurut pereka bentuk kediaman berkenaan, rumah tidak semestinya didirikan di atas tanah kerana manusia boleh belajar daripada haiwan seperti burung yang membina rumah di atas pokok atau di celah batu.

“Manusia juga melakukan perkara yang sama dengan membina rumah masing-masing di atas tanah yang mahal. Kami juga merancang untuk membina rumah kotak yang lebih besar dengan mempunyai beberapa bilik, tingkap dan perlindungan cuaca yang yang sesuai untuk manusia,” katanya.

Tebing curam akan berfungsi dengan baik untuk pemasangan rumah berbentuk sarang kotak itu sekiranya dilengkapi dengan struktur yang dapat menampung beban premis dan digabungkan dengan bingkai kediaman tersebut.

NestinBox masih pada pe­ringkat konsep ketika ini namun boleh menjadi kenyataan untuk ditambah kepada senarai ciptaan Sweden yang hebat.

Sumber :Utusan Online