Nidzham Adzha Ikhtiar Cergaskan Kembali Lang Merah


ALOR SETAR - Sebahagian dari pemain skuad Lang Merah yang kini sedang bercuti dibimbangi gagal kembali ke kem latihan dalam keadaan cergas sepenuhnya, namun Mohd Nidzam Adzha Yusoff segera mencari jalan mengatasi kemungkinan tersebut.

Ketua Jurulatih Kedah itu berkata, beliau telah mengatur persediaan awal sebelum perlawanan Liga Super kembali bersambung dengan dua perlawanan persahabatan sebagai "pemanas badan".

Jelas beliau, skuad Kedah bimbingannya itu dijadualkan bakal bertemu Perak di Stadium Darul Aman dalam satu perlawanan persahabatan pada 1 Julai ini.

"Sebelum itu kita akan menentang Perlis dahulu pada 13 Jun. Kalau diikutkan kita juga akan berdepan Pulau Pinang tetapi terpaksa dibatalkan kerana pihak lawan mempunyai perancangan lain.

"Bagaimanapun, kita akan membuat persediaan sebaik mungkin sebelum liga bermula kerana persaingan untuk kedudukan teratas liga juga semakin sengit," katanya memetik laporan mStar.

Tegas Mohd Nidzam Adzha, semua pemain Kedah kini memerlukan persediaan yang sangat rapi supaya mereka benar-benar bersedia untuk mengharungi baki jadual liga dan permulaan Piala Malaysia.

Justeru itu, beliau berharap agar semua pemain mengambil inisiatif untuk fokus dengan cabaran getir yang bakal dihadapi, khususnya dalam persediaan mental dan fizikal sebaik mungkin.

"Dalam tempoh rehat dua minggu ini, pemain yang cedera diharap dapat merawat kecederaan sebelum mereka memulakan sesi latihan pada Jumaat ini.

"Saya tidak mempunyai masa yang panjang untuk membuat persediaan dan oleh itu pemain sendiri perlu melakukan persediaan dari segi mental dan fizikal sebaiknya," katanya.

Beliau yang bertanggungjawab mengemudi Kedah membawa pulang Piala FA ke bumi Jelapang Padi baru-baru ini juga menjelaskan bahawa keempat pemain import pasukan akan turun latihan seperti biasa.

Namun begitu katanya, sembilan lagi pemain Kedah tidak berlatih bersama kali ini ekoran mereka kini menyahut panggilan negara bersama skuad Harimau Malaya.

"Setakat ini, semua pemain termasuk empat pemain import, Liridon Krasniqi, Sandro Da Silva, Zachary Anderson dan Ken Ilso Larsen akan turut serta pada sesi latihan ini kecuali sembilan pemain yang bersama pasukan kebangsaan," ujar beliau. -Kedahnews.com