Nik Abduh Tanya, Bila Masa Zaid Ibrahim Berdoa?

Datuk Zaid Ibrahim (paling kanan)
KOTA BHARU - Saya cuba mengagak bila agaknya Ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim berdoa kepada tuhannya? Bila saatnya? 

Demikian pertanyaan dilontarkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menerusi laman facebook, malam tadi ekoran catatan Zaid di twitter berhubung insiden membabitkan pesawat AirAsia Airbus A330 dari Perth ke Kuala Lumpur pada pagi kelmarin.

Berikut tulisan Nik Abduh: Di dalam al Quran di banyak tempat, Allah menggambarkan saat kegetiran terumbang-ambing dibadai gelora besar di tengah lautan (apatah lagi kalau di langit tinggi seperti kes penerbangan AirAsia bru-baru ini), seluruh penumpang kapal yang tak pernah ingat Allah pun akan mengangkat tangan berdoa memohon pertolongan dan pembebasan daripada kecelakaan.

Ia adalah fitrah manusiawi yang tersembul keluar dari dalam diri manusia hatta mereka yang hidup penuh alpa daripada mengingati Allah sekalipun.

 Saat bersabung nyawa disapa takdir alam milikNya adalah saatnya Allah tunjukkan kepada manusia hakikat kehidupan. Mereka perlukan Allah. Allah-lah empunya langit bumi dan segala kejadiannya.

Saya doakan saatnya nanti, fitrah Dato Zaid Ibrahim akan tersembul keluar. Biar Allah tunjukkan dengan hikmatNya bahawa untuk menagih harapan hidup dan umur lebih panjang, dia akan dipaksa fitrahnya untuk turut berdoa kepada tuhannya.

Setakat ini, jawaban yang saya dapat ialah mengapa ada juga Melayu muslim yang begitu marah dan bencikan PAS. Ya, kerana PAS mengajar ahlinya untuk sentiasa berdoa semoga PAS berjaya mara ke Putrajaya nantinya.

Orang berpuasa di bulan Ramadhan akan merindui doa. Orang tak puasa memang sah akan menolak doa. Saya tak jumpa lagi kes orang puasa tolak doa. Mungkin ini kes pertama? - HarakahDaily