ALOR SETAR - Seorang lelaki nyaris menemui ajal apabila terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 102 Lebuhraya Utara Selatan jam lebih kurang 9.15 pagi semalam.
Mangsa, Mohamad Hafiz Yaacob, 33, yang berasal dari Kampung Alor Bemban walau bagaimanapun mengalami cedera parah setelah motosikal yang dinaikinya terbabit melekat pada lori.
Difahamkan bahawa mangsa dalam perjalanan pulang dari arah Butterworth ke Alor Setar sebelum dilanggar oleh sebuah lori yang dipercayai datang dari arah sama.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Saifi Abd Hamid berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa yang sedang menunggang di laluan kecemasan telah dirempun oleh lori tersebut dari arah belakang.
“Pelanggaran menyebabkan lori hilang kawalan dan terbabas lalu terbalik atas besi penghadang jalan.
“Akibat kemalangan, mangsa parah di kepala dan patah di tangan kiri, sehingga kini masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. - Kedahnews.com