IPOH - Sebanyak 109 saman dikeluarkan dalam Op Mabuk Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, awal pagi tadi.
Timbalan JSPT Perak DSP Mohd Mahiri Hussin berkata operasi yang bermula dari 12 tengah malam hingga 4.30 pagi itu diadakan di sekitar Greentown.
"Tiga sekatan jalan raya dibuat di kawasan berkenaan melibatkan Jalan Dato Ahmad Said, Jalan Sultan Abdul Jalil dan Persiaran Greentown 1," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Mohd Mahiri berkata dalam operasi yang disertai dua pegawai dan 27 anggota itu, sebanyak 43 pemeriksaan tahap alkohol dilaksanakan dengan dua tangkapan dilakukan kerana melebihi had ditetapkan.
"Kedua-dua individu lelaki berkenaan masing-masing berumur 27dan 52 tahun ditahan mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya sambil menambah keduanya telah diberi ikat jamin polis sehingga 21 Jun ini.
Beliau berkata sebanyak 109 saman dikeluarkan dalam operasi hampir lima jam itu melibatkan pelbagai kesalahan antaranya mengabaikan lampu isyarat, memandu laju, lesen tamat tempoh dan enggan menandatangan saman. -BERNAMA