Operasi Khas Aidilfitri: Tiga Lelaki Positif Syabu Ditahan, Motosikal Disita


KANGAR - Seramai 27 orang diarah menjalani ujian air kencing sempena Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri di sini, malam tadi dan daripada jumlah itu tiga lelaki ditahan selepas didapati positif dadah.

Pegawai Antidadah Bahagian Penguatkuasa Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah Perlis Selatan, Anizan Romli berkata suspek yang berusia lingkungan 21 hingga 42 tahun itu positif dadah methamphetamine dan akan didakwa mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan-RMP) 1983 pindaan 1998.

"Operasi ini anjuran bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan beberapa agensi lain yang diadakan di Behor Temak di sini malam tadi," katanya kepada pemberita selepas operasi berakhir.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan Negeri, Asmaiza Ahmad dan pemangku pengarah JPJ Perlis, Mahazir Abdul Majid turut menyertai operasi tersebut.

Asmaiza berkata operasi tersebut mencatatkan penurunan dari segi saman iaitu cuma 91 saman dikeluarkan berbanding operasi 2016, sebanyak 717 saman dikeluarkan kepada pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan lalu lintas.

Katanya sebanyak 2,315 kenderaan diperiksa dalam operasi tersebut. Dari jumlah itu tiga motosikal disita mengikut Seksyen 64(1) dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Penurunan ini mungkin menggambarkan pemandu lebih berhati-hati dan mematuhi undang-undang jalan raya. Ini ialah perkembangan baik," katanya.

Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri itu bermula 9.30 malam dan berakhir 11.30 malam. - BERNAMA