ALOR SETAR - Murtabak Ekonomi Pak Ali menjadi pilihan kebanyakan pengunjung yang datang ke bazar Ramadan Kelang Lama, Kulim.
Mula berniaga sejak 17 tahun yang lalu, murtabak kepunyaan Mohd Ghazali Hussin, 47, menjadi kegemaran penduduk khususnya di Kulim kerana keistimewaannya yang dijual pada harga RM1 sejak dahulu lagi.
Menurutnya, setiap tahun pada bulan Ramadan dia akan berniaga di bazar Ramadan Kelang Lama manakala pada hari biasa dia menjalankan perniagaannya di Pasar Awam Kulim, sejak dahulu lagi Ghazali tidak pernah menaikkan harga murtabak dan roti canai walaupun harga barang kini naik.
“Kebanyakan penduduk di kawasan ini mengenali saya kerana setiap hari berniaga di Pasar Awam Kulim menjual roti canai dan martabak manakala ketika Ramadan saya akan menjalankan perniagaan di bazar ini.
“Sejak 17 tahun lalu, harga martabak kekal RM1 dan tidak pernah berubah walaupun harga barangan kini meningkat kerana niat saya selain mendapat keuntungan ialah untuk membuat amal kepada orang ramai,” katanya di bazar Ramadan Kelang Lama, di sini, Ahad lalu. - Kedahnews.com