DILAHIRKAN dalam keluarga Tiong Hua namun pasangan suami isteri Ng Chang Poo, 52, dan Choy Pooi Yee, 46, mempunyai latar belakang persekitaran yang berbeza.
Jika si isteri dari keluarga yang tidak fasih dengan bahasa Melayu, berbeza sang suami yang tiada masalah tersebut namun tidak boleh membaca dalam bahasa ibundanya pula.
Mereka berkenalan di ibu kota dan mulai rapat selepas kagum dengan kelebihan yang ada pada diri masing-masing.
Selepas tiga tahun berkenalan mereka mengambil keputusan untuk berkahwin dan kini berbahagia dengan kehadiran empat cahaya mata berusia antara 10 hingga 16 tahun.
Belajar bahasa Melayu dari cerita P Ramlee
Pooi Yee yang mesra dengan panggilan JC berkata, keluarganya berasal dari Ipoh namun membesar di Batu Caves. Beliau mempunyai dua beradik dan ibu bapanya langsung tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu.
Zaman kanak-kanaknya diakui dalam kelompok bangsanya sahaja dan sukar mempelajari bahasa kebangsaan di sekolah.
“Susahnya nak faham bahasa Melayu bila dah masuk sekolah baru nak belajarnya. Selain pendidikan formal di sekolah, saya juga pergi tuisyen. Ibu bapa risau jika saya gagal peperiksaan bahasa Melayu.
“Saya ambil masa yang lama juga untuk belajar bahasa Melayu, nak sebut satu-satu perkataan ambil masa untuk mengeja. Boleh faham tapi tak boleh nak bertutur,” katanya kepada Sinar Harian.
Dia masih ingat setiap Jumaat dia akan menonton cerita P Ramlee yang disiarkan di kaca TV.
“Saya suka tengok cerita P Ramlee dan tengok sari katanya. Itulah yang banyak membantu saya tambahkan lagi penguasaan perkataan dan ayat.
“Semasa zaman saya penekanan mendalami bahasa Melayu dalam masyarakat Cina kurang ditekankan, memang ramai Cina yang tak tahu cakap Melayu, cuma semangat saya kuat untuk belajar kerana mahu keluar dari kepompong itu,” katanya.
Tak mahu anak-anak hadapi masalah pertuturan sepertinya, sejak kecil anak-anak telah dilatih bercakap bahasa Melayu dengan sebutan yang betul.
Nyata persediaan awal itu memberikan kelebihan buat mereka apabila anak-anak tak menghadapi masalah penguasaan bahasa Melayu malahan kelebihan itu turut mendapat pujian daripada guru-guru mereka.
Budaya Melayu sudah serasi
Suaminya, Chang Poo berkata, dia tinggal dalam kampung Melayu di Panchor, Muar jadi latar belakangnya tak sama dengan isterinya.
“Selera makan saya banyak kepada yang pedas seperti kari dan masak lemak cili padi. JC pula tak biasa dengan masakan Melayu jadi bila rasa nak makan saya masaknya sendiri tak ada masalah.
“Saya juga minat makan nasi beriani, pucuk paku, rendang dan masakan Melayu lain. Saya hijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebab mahu berdikari tak mahu bergantung dengan keluarga,” katanya.
Akuinya, dia amat merindui zaman kanak-kanaknya yang tiada langsung menghadapi masalah perkauman dan mempunyai ramai rakan sepermainan dari kalangan orang Melayu dan India.
“Dahulu tak ada sebarang masalah atau had dalam berkawan. Kalau saya buat salah pak cik Melayu marah, mak ayah saya tak kisah lagi mereka suka sebab anaknya dipantau masyarakat.
“Tapi sekarang dah tak sama pemikiran masyarakat dan semakin mundur bila isu perkauman dipolitikkan.
“Kami bersikap terbuka dalam pergaualan. Saya mahu anak-anak tak jadikan perbezaan kaum dan agama sebagai halangan dalam memilih kawan," katanya.
Sumber : Sinar Online