Pasar Tani Aidilfitri Dijangka Raih RM400,000


ARAU - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis menganggarkan nilai jualan Pasar Tani Khas sempena Aidilfitri tahun ini meraih RM400,000 berbanding RM324,000 tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Ahmad Bakri Ali berkata harga barangan dijual pada kadar berpatutan di pasar tani khas itu yang diadakan di Simpang Empat, Taman Sena Indah di Kangar serta di tiga Pasar Tani mingguan mulai hari ini hingga Sabtu.

"Barang keperluan utama umat Islam sempena Aidilfitri juga mencukupi termasuk bekalan daging lembu, ayam dan ikan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pasar Tani Khas Aidilfitri 2017 di Pasar Tani Kekal Simpang Empat dekat sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Cawangan Pasar Tani Kekal FAMA Mohamad Zubir Abdul Razak, Pengarah FAMA Perlis Shahrizan Sudiman dan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perlis Ismail Ladin.

Ahmad Bakri berkata sebanyak 25 ekor lembu disembelih dengan dagingnya dijual pada harga RM32 sekilogram manakala ayam, yang sebanyak lapan tan metrik, dijual pada RM7.50 sekilogram di pasar-pasar tani.

LKIM turut memberi jaminan bekalan ikan mencukupi dengan pendaratan sebanyak 30 tan metrik di Jeti Kuala Perlis. - BERNAMA