PASIR PUTEH - Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor ditemui mati dengan kesan tembakan di dahi di dalam pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh hari ini.
Pemangku Ketua Polis Kelantan SAC Din Ahmad berkata kejadian itu disedari seorang anggota polis kira-kira 9 pagi yang diarahkan untuk mencari mangsa yang berusia 29 tahun yang tidak menghadiri mesyuarat pentadbiran sebagai wakil Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan.
"Anggota polis berkenaan kemudiannya pergi ke bilik mangsa dan melihat satu 'body' di atas kerusi dan ada tompokan darah di bawah kerusi (yang diduduki mangsa) dan seterusnya melaporkan kejadian itu kepada seorang pegawai polis," katanya ketika ditemui pemberita di IPD Pasir Puteh.
Beliau berkata pegawai polis yang diberitahu itu kemudiannya pergi ke tempat kejadian sebelum menghubungi pegawai perubatan Hospital Tengku Anis yang mengesahkan mangsa telah meninggal dunia akibat kesan tembakan di dahi, pada pukul 9.40 pagi.
Din berkata mangsa yang berasal daripada Selangor baharu ditukarkan ke IPD Pasir Puteh pada Februari lepas merupakan pegawai bertugas dari pukul 8 malam tadi hingga 8 pagi ini dan bertanggungjawab untuk membuat rondaan di sekitar jajahan ini.
"Bagaimanapun sekitar pukul 4 atau 5 pagi tadi, ada orang terdengar bunyi tembakan dilepaskan namun tidak mengesyaki apa-apa ketika itu sehinggalah penemuan mayat mangsa pagi tadi.
"Setakat ini kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Bagaimanapun kami akan menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis untuk bedah siasat. - BERNAMA