"Pekan Hantu" Di Kaki Gunung Sinabung Yang Menyeramkan...


SETELAH sekian lama menyepi, Gunung Sinabung di Indonesia kembali ‘mengaum’ pada tahun 2014 dengan muntahan lahar panas serta debu panas setelah 400 tahun terlena.

Letusan besar itu mengorbankan 16 nyawa sehingga memaksa pihak berkuasa Indonesia menetapkan kawasan sekitar gunung berapi itu sebagai zon larangan.

Sejak dari itu, banyak siri letusan-letusan kecil tercetus. Terbaru letusan yang memuntahkan debu tebal hanya berlaku selang beberapa hari lalu.

Kira-kira 10,000 penduduk di sekitar kawasan gunung itu terpaksa dipindahkan menyebabkan mereka hilang tempat tinggal.


Kini kawasan penempatan penduduk terbabit tinggal kosong dan sunyi umpama sebuah pekan hantu di kaki Gunung Sinabung.

Terletak di kepulauan Sumatera, Indonesia, kawasan tandus yang pada asalnya merupakan sebuah penempatan terletak di lokasi strategik yang memiliki kawasan pertanian yang subur.

Letusan pertama pada 2014 itu menyebabkan suasana panik dalam kalangan pihak berkuasa yang kemudiannya bertindak memindahkan keseluruhan penduduk, namun kemudiannya membenarkan mereka kembali ke kawasan itu.


Tidak lama selepas itu, tercetus pula satu letusan sehingga memaksa penduduk dipindahkan semula ke kawasan yang lebih selamat untuk mengelakkan angka kematian bertambah.

Selama tiga tahun ruang udara sekitar Gunung Sinabung diselaputi debu yang terhasil dari letusan itu. Keadaan itu membuatkan pihak berkuasa bimbang untuk membenarkan penduduk kembali ke kawasan penempatan mereka di kaki gunung itu.

Namun sekatan yang dikenakan oleh pihak berkuasa di kawasan terlibat tidak menghalang golongan yang gemarkan aktiviti mencabar meneroka kawasan penempatan tinggal itu.

Ia kini turut menjadi antara kawasan tumpuan bagi peminat fotografi untuk merakam momen letusan gunung berapi itu berlatarbelakangkan sebuah "pekan hantu". –Kedahnews.com