KUANTAN - Seorang penuntut Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Gebeng di sini, cedera di perut selepas dipercayai ditikam dua lelaki dalam kejadian samun di Jalan Pintasan Pelabuhan-Kuantan dekat Balok, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa berusia 23 tahun yang mengalami kecederaan di perut dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, dengan bantuan orang awam untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisiner Abdul Aziz Salleh berkata, ketika kejadian, mangsa berjalan seorang diri menuju ke sebuah kedai makan sebelum ditegur dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.
"Seorang daripada suspek berpura-pura bertanyakan arah jalan sebelum mengeluarkan sebilah pisau dan bertindak hendak menyamun mangsa.
"Mangsa cuba melawan menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka sebelum suspek bertindak menikamnya, " kata beliau ketika dihubungi Bernama di sini semalam.
Beliau berkata, seorang daripada suspek merampas telefon bimbit dan dompet milik mangsa, dan kedua-dua lelaki terbabit kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.
Katanya mangsa ditemui oleh orang awam di tepi jalan dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kecederaan di perut sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Abdul Aziz berkata polis masih menyiasat jumlah kerugian sebenar dialami mangsa selain sedang mengesan dua suspek terbabit, dipercayai masih berada di bandar ini.
"Kes terbabit masih dalam siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun mendatangkan kecederaan," katanya. - Bernama