Pelajar Tingkatan 3 Tersepit Di Jeriji Pintu Semasa Cuba Keluar Dari Rumah

Pelajar tingkatan tiga tersepit pada jeriji pintu semasa cuba keluar dari rumah

SHAH ALAM - Cubaan seorang pelajar tingkatan tiga yang cuba keluar rumah melalui jeriji pintu besi mengundang padah apabila dia tersepit di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kg. Baru Hicom, di sini pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi, mangsa yang merupakan anak tunggal dipercayai ditinggalkan di rumah berkenaan seorang diri dalam keadaan rumah berkunci bagi mengelak dia keluar merayau sementara ibu bapanya keluar bekerja.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Azmel Kamarudin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 11.12 pagi daripada orang ramai dan dan tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian bersama tujuh orang anggota.

“Setibanya di lokasi kejadian, kelihatan mangsa sedang tersepit di paras pinggang di jeriji pintu besi bahagian bawah. Kita mengambil masa selama sejam untuk mengeluarkan mangsa.

“Kita terpaksa memotong jeriji pintu besi menggunakan alat pemotong hidraulik untuk mengeluarkan mangsa. Bagaimanapun, tiada kecederaan serius berlaku kepada mangsa,” katanya.

Sumber: Utusan