Pelantikan 'Datuk Bandar' Perlu Berasaskan Kelayakan - MB Perak


IPOH - Pelantikan 'Datuk Bandar' di sesebuah bandar raya perlu berasaskan kelayakan dan merit individu, bukan berasaskan populasi mengikut kaum , kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata andai pelantikan dibuat berasaskan kaum, masyarakat tidak akan dapat keluar daripada lingkaran berdasarkan etnik dalam apa juga perkara.

"Kita tidak harus tengok secara khusus, kalau di sini (ramai kaum) Cina, maka perlu (datuk bandar) Cina, kalau India perlu India dan ini kawasan Melayu, (maka) perlu Melayu.

"Kenapa tidak kita lihat rakyat Malaysia di mana-mana sahaja, sama ada dia Melayu, India, Cina, mereka yang kita fikir berkelayakan untuk menjadi datuk bandar, maka pelantikannya harus berasaskan kepada merit," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyediaan dan pengagihan bubur lambuk kepada warga Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini semalam.

Beliau mengulas cadangan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa kaum Cina perlu dilantik menjadi datuk bandar atau timbalan datuk bandar di kawasan yang majoriti penduduknya berketurunan Cina seperti Ipoh dan Johor Bahru.

Akhbar berbahasa Cina yang melaporkan perkara itu menyatakan Liow mengemukakan cadangan tersebut kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najb Tun Razak baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata beliau tidak menganggap cadangan itu berbentuk perkauman namun berharap masyarakat berhenti daripada terus bermain dengan sentimen perkauman. - BERNAMA