PELAWAK dan produser Afdlin Shauki terbuka hati untuk ke Beirut, Lubnan selepas mendengar penderitaan pelarian Syria di negara itu yang hanya merebus rumput sebagai makanan harian mereka.
Afdin berkata, memikirkan kesukaran hidup yang dihadapi mereka membuatkan dia terpanggil untuk melihat sendiri penderitaan itu selain membantu dalam misi 'Syria Di Hati' bermula Sabtu ini.
"Apabila saya dengar cerita tentang pelarian di Beirut yang merebus rumput untuk makan membuatkan hati saya tersentuh dan tidak sanggup untuk membiarkan sahaja perkara itu sebaliknya perlu dibantu," luah Afdlin.
Afdlin ditemui semasa majlis perasmian Afdlin's Shell Syiok di Metro Point, Kajang pada Isnin.
Selain Afdlin rombongan berkenaan akan turut disertai lima orang wakil daripada Yayasan Kubra dan Yayasan Afdlin Shauki.
Dalam pada itu tambah Afdlin, dalam misi itu mereka akan menyalurkan bantuan dalam bentuk wang, makanan dan ubat-ubatan.
Katanya, walaupun sebahagian besar pelarian itu mampu untuk bekerja, namun disebabkan status sebagai orang pelarian, mereka tidak dibenarkan untuk melakukan apa-apa.
"Kehidupan mereka hanya bergantung kepada bantuan orang luar sahaja dan saya rasa ini adalah masa yang paling sesuai untuk membantu sebanyak mungkin," kata Afdlin yang akan berada di negara itu selama tujuh hari.
Afdlin berkata ini adalah kali pertama dia melakukan misi bantuan Syria pada bulan Ramadan.
Dia mula aktif melakukan kerja-kerja amal sejak tahun 2012 selain pernah ke Jordon pada awal tahun 2015.
Sumber : Mstar Online