TELUK INTAN - Suasana sambutan Aidifitri mungkin suram kepada pembeli kediaman di sebuah taman perumahan di Kampung Padang Tembak, di sini apabila hasrat mereka untuk mendiami rumah baharu masih tidak kesampaian kerana pemaju gagal menyiapkan utiliti dan infrastruktur asas.
Apa yang menghairankan dan dipertikaikan, bagaimana projek perumahan itu boleh mendapat Sijil Layak Menduduki (CCC) dan penyerahan kunci rumah telah dilakukan sedangkan projek taman perumahan membabitkan rumah jenis teres satu tingkat kos sederhana, rumah berkembar (semi-D) dan banglo itu boleh dikategorikan masih belum siap sepenuhnya.
Lantaran itu, sekumpulan 15 pemilik rumah di taman perumahan itu mendakwa pemaju telah memalsukan dokumen mereka untuk mendapatkan pembayaran sepenuhnya sedangkan rumah mereka belum siap walaupun perjanjian jual beli kediaman telah tamat.
Mengikut perjanjian asal, pembeli sepatutnya sudah boleh berpindah ke taman berkenaan pada Oktober 2016 lagi tetapi kegagalan pemaju menyiapkan sepenuhnya taman tersebut membantutkan hasrat mereka untuk berbuat demikian.
Memburukkan lagi keadaan, sesetengah rumah teres setingkat kos sederhana di taman perumahan itu didapati retak dan bocor disebabkan pemaju tidak mengikuti spesifikasi pelan arkitek yang telah dipersetujui sebelum ini.
Para pembeli itu yang kebanyakannya kakitangan kerajaan juga menderita kerana mereka terpaksa menanggung bayaran pinjaman projek perumahan itu antara RM1,000 hingga RM2,500 sebulan sedangkan dalam masa yang sama juga terpaksa membayar sewa rumah sedia ada.
Seorang pembeli, Khairul Aufa Mohamed Yusof, 41, berkata mereka kecewa dengan sikap berdolak-dalik pemaju untuk menyiapkan projek tersebut dengan segera.
Menurutnya rumah semi-D yang dibeli pada Oktober 2014 dengan harga RM325,800 itu sehingga kini masih belum sempurna dan belum sedia untuk diduduki.
"Saya sudah dipotong gaji sejak Mac 2016 dan sepatutnya tamat perjanjian jual beli (S&P) pada Oktober 2016. Bayangkanlah, ketika pemaju telah menerima semua pembayaran, rumah saya baru siap 60 peratus.
"Sekarang ini kunci rumah sudah diberikan kepada pembeli, tapi mana meter elektrik dan meter airnya Jalan raya pun belum diturap. Bila kita hendak jumpa pemaju mereka beri macam-macam alasan.
"Mutu dan kualiti kerja pula teruk. Rasa tidak berbaloi gaji dipotong setiap bulan dengan kualiti rumah seperti ini. Teringin juga beraya di rumah baharu namun selagi semua ini belum disiapkan, kami terpaksa tangguhkan," katanya kepada Bernama selepas dibawa melihat persekitaran perumahan yang telah diberikan taraf CCC namun belum siap sepenuhnya itu, semalam.
Sementara itu, impian Halimah Mat Wali@Mat Aris, 35, seorang kakitangan awam untuk menduduki rumah keduanya itu sedikit terganggu kerana belum pun rumahnya yang dibeli dengan harga RM227,800 itu diduduki, telah berlaku keretakan dan kebocoran pada bahagian siling dapur.
"Sepatutnya apabila pinjaman kerajaan sudah keluarkan bayaran 100 peratus kepada pemaju, rumah sepatutnya siap sepenuhnya dan tanpa ada masalah. Ini macam-macam masalah timbul termasuklah tidak mengikuti spesifikasi arkitek seperti 'dicurikan' bukaan keluasan rumah.
"Kalau ikutkan perjanjian, kami dapat menduduki rumah ini selepas dua tahun. Adalah menjadi hasrat saya untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri tahun ini di rumah baharu ini," katanya.
Halimah yang merupakan antara orang pertama yang mengetahui tentang masalah ini turut berkata beliau pernah dicabar pihak pengurusan pemaju supaya tidak menjadi batu api kepada pembeli lain dan tidak takut walaupun diancam untuk membuat laporan polis.
"Kami sebagai pembeli kecewa dan hairan bagaimana semua ini boleh mendapat kelulusan. Mesti ada dalang di sebaliknya. Kami merasa tertipu dengan pemaju yang membuat semua keputusan tanpa pengetahuan kami termasuk soal tandatangan," katanya.
Tidak berpuas hati dengan perkara itu, beliau mengambil masa hampir dua bulan untuk mengumpulkan pembeli-pembeli yang terlibat sebelum bersepakat melakukan prosiding undang-undang bagi mendapatkan hak pembeli selain berharap kerajaan negeri turut campur tangan bagi menanganinya.
Sementara itu, peguam yang mewakili kumpulan itu, Jastina Mohd Junus berkata lapan lagi pemilik rumah di taman perumahan itu memfailkan saman hari ini bagi menuntut pembelaan menjadikan 13 daripada 15 pemilik kesemuanya yang memfailkan saman pada Selasa minggu lepas.
"Walau bagaimanapun, masih terdapat dua lagi yang belum boleh menfailkan saman kerana masih menunggu dokumen daripada pihak terlibat dan saya jangka saman berkenaan akan dapat difailkan seminggu sebelum hari raya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Teluk Intan semalam.
Menurutnya kesemua saman yang difailkan oleh anak guamnya melibatkan empat defendan terdiri daripada pemaju, arkitek, peguam dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA). - BERNAMA