Pemenang Pingat Emas SEAP Kini Jual Ubi Kayu Harapkan Pengiktirafan


TIADA masa untuk berehat bagi Ng Kah Liew sejak dua dekad lalu.

Walaupun sudah mencecah usia 80 tahun, Ng tetap membanting tulang selama 12 jam sehari pada Jumaat hingga Ahad untuk menjual sayur dan buah-buahan bagi menyara kehidupannya.

Ng bangun pada pukul 6 pagi dan memandu van lama miliknya untuk menghantar isterinya, Low Ah Lok, 70, ke pasar Pokok Assam untuk menjual telur ayam.

Kemudian, Ng akan selang-seli ke pasar Kamunting dan Bukit Larut yang jaraknya 45 minit dari rumah mereka di Taman Sri Kota untuk menjual pisang, betik, kelapa dan kentang.

Ng ketika beraksi pada zaman kegemilangannya.
"Tidak mudah. Saya cukup gembira kalau dapat RM50 sehari," katanya.

Pendapatan itu ternyata terlalu jauh jika dibandingkan dengan zaman kegemilangannya memenangi pingat emas untuk acara rejam lembing pada Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) 1961.
Bapanya menjangkakan bahawa Ng akan mempunyai masa depan yang cerah selepas bergelar jaguh sukan.

"Saya masih ingat bagaimana ayah saya teruja menyaksikan persembahan saya di pentas dunia.

"Hari ini, apabila saya kenang kembali kata-katanya, saya rasa cukup sayu kerana kehidupan saya tidak seperti apa yang dia harapkan," ujarnya kepada The Star.

Sebulan lalu, Ng memutuskan untuk melangkah keluar dari kekaburan. Dia meletakkan dua spanduk di atas vannya, memaparkan gambar dirinya memegang lembing.

Ia adalah permintaan yang terseirat untuk sedikit pengiktirafan.

"Sepanduk ini dibuat oleh kawan. Saya mahu berkongsi cerita saya selepas melihat atlet hari ini pulang dengan pingat mereka dan pelbagai hadiah," katanya.

Ng berkata, selepas kemenangannya, beliau menghadiri majlis makan malam perayaan dan berjabat tangan dengan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman.

Beliau juga diberikan RM20 untuk tambang teksi untuk membawanya pulang dari Lapangan Terbang Subang ke rumahnya.

"Dan kemudian, semuanya telah menjadi sejarah. Kehidupan berjalan seperti biasa sehingga kini," katanya.

Ng, yang merupakan pesara guru sekolah rendah berkata, beliau menerima RM1,200 sebulan sebagai wang pencen.

"Sekarang, wang pencen juga tidak cukup untuk menanggung saya dan isteri. Saya memutuskan untuk menjual buah-buahan kerana saya suka menanam buah-buahan dan sayur-sayuran," katanya.

Ng, yang merupakan bapa kepada empat orang anak, berusia 38 hingga 47 tahun, menambah bahawa dia tidak mengharapkan untuk dihargai dengan wang ringgit, tanah atau rumah dengan menceritakan kisah lalu.

"Saya hanya mahu kerajaan memberi sedikit pengiktirafan kepada bekas juara, terutamanya mereka yang menghadapi masalah untuk memenuhi keperluan hidup seperti saya," katanya.

Sumber: mStar