PARIS – Pemimpin-pemimpin dunia memberi reaksi marah dan kecewa selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan bahawa Washington keluar daripada Perjanjian Iklim Paris 2015.
Didahului dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, mereka menyifatkan keputusan Trump sebagai terpesong dan berjanji akan terus mempertahankan perjanjian tersebut demi masa depan dunia.
Dalam satu langkah yang luar biasa, tiga kuasa ekonomi terbesar Eropah, Jerman, Perancis dan Itali mengeluarkan kenyataan bersama bagi mengecam tindakan Trump dan dingin terhadap tawaran untuk mengadakan rundingan semula perjanjian tersebut.
“Kami melihat keputusan AS itu dengan perasaan kesal,” ujar kenyataan tersebut sambil menjelaskan perjanjian pembendungan karbon amat penting untuk Bumi, masyarakat dan ekonomi.
“Kami amat yakin bahawa perjanjian ini tidak boleh dirunding semula,” tambah kenyataan tersebut.
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pula menghubungi Trump untuk melahirkan kekecewaan terhadap keputusan tersebut.
Di Berlin, Canselor Jerman, Angela Merkel turut kesal dengan keputusan berkenaan dan menggesa untuk meneruskan polisi iklim bagi memelihara dunia.
Perdana Menteri Britain, Theresa May dalam satu kenyataan dikeluarkan Downing Street memberitahu Trump, perjanjian tersebut adalah satu jaringan keselamatan untuk generasi masa depan.
“Perjanjian Paris menyediakan rangka kerja global yang tepat untuk melindungi kesejahteraan dan keselamatan generasi masa depan. Pada masa sama mengekalkan tenaga mampu milik dan melindungi penduduk dan ekonomi,” ujar May kepada Trump menerusi panggilan telefon ke Washington.
Menteri-menteri Mexico juga menyatakan dunia mempunyai kepentingan moral untuk menghidupkan komitmen yang dibuat dalam pakatan iklim Paris, manakala Kementerian Luar Brazil melahirkan rasa bimbang dan kecewa dengan langkah Washington.
Perdana Menteri Fiji, Voreqe Bainimarama yang bakal menjadi Presiden dalam Rundingan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Jerman dalam masa terdekat, turut melabelkan pengumuman Trump sebagai amat mengecewakan.
“Kehilangan kepimpinan AS adalah sesuatu yang mengecewakan, ia adalah satu perjuangan yang masih jauh,” ujar Bainimarama.
Sumber: Kosmo