Pendaftaran Gabungan Pakatan Diketuai DAP Tangguh Lagi


ALOR SETAR - Pendaftaran gabungan Pakatan Harapan (PH) yang sepatutnya sudah didaftarkan untuk menghadapi pilihan raya umum ini, ditangguhkan lagi  kerana belum ada kata sepakat di kalangan pemimpinnya.

Sehingga ini sudah sebulan keputusan untuk mengumumkan struktur kepimpinan gabungan pembangkang PH itu belum  dapat dilaksanakan atas beberapa sebab.

"PH masih tidak dapat didaftarkan dalam waktu terdekat... " kata Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memberi alasan pakatan gabungan itu masih lagi berbincang untuk mendapatkan konsensus di antara empat parti iaitu  DAP, PKR, PAN dan PPBM.

 "Bila bertemu konsensus kita akan daftar," katanya kepada pemberita dalam sidang medianya hari ini.

PH sehingga kini gagal memuktamadkan barisan kepimpinannya, dikatakan berpunca daripada beberapa cadangan yang berbeza dari setiap parti.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebelum ini didakwa mahu jawatan utama gagasan itu, iaitu Pengerusi dan Presiden diberikan kepadanya.

Namun hal itu dikatakan tidak dipersetujui PKR, dengan mendakwa akan berlaku penguasaan PPBM dalam gagasan pembangkang berkenaan.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menerusi kenyataan terbarunya melahirkan kebimbangannya terhadap penguasaan PPBM ke dalam PH, selain mahu jawatan pengerusi hanya bertindak sebagai penyelaras.

Dr. Mahathir sebelum ini mendedahkan beliau merupakan punca pendaftaran Pakatan Harapan tertangguh kerana ada kalangan pemimpin bimbang beliau (Dr. Mahathir) takan kembali berkuasa sebagai Perdana Menteri.

Dalam sidang media yang sama juga Wan Azizah ditanya calon perdana menteri bagi PH selepas Anwar menolak dirinya dicalonkan ke jawatan itu.

"Terpulang kepada kitalah. Sesiapa yang mendapat majoriti akan menjadi PM. Kita menang dahulu kemudian baru kita bercakap siapa yang akan menjadi PM," ujarnya ringkas.

Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad ketika mengulas perkara yang sama berkata meskipun Anwar menolak cadangan itu, namun nama pemimpin tersebut merupakan persetujuan bersama kesemua parti. -Kedahnews.com