Pengarah Didakwa Terima Rasuah Sebanyak RM8,000

Image result for Pengarah Terima Rasuah Sebanyak RM8,000

KOTA KINABALU - Seorang pengarah agensi kerajaan di Labuan didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM8,000 di Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini.

Tertuduh Ismail Che Ros, 60, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan rasuah pada 5 hingga 7 Ogos tahun lalu yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima pakej penginapan dan golf di Sutera Harbour Resort bernilai RM2,880.90 daripada Pengurus Projek Borneo Era Sdn. Bhd., Teoh Hon Chun di dalam bilik penginapan Sutera Harbour Resort di sini.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua pula tertuduh menerima suapan wang tunai sebanyak RM5,000 daripada individu dan lokasi yang sama tetapi waktu berlainan antara pukul 3 hingga 5 petang pada 6 Ogos 2016.

Menurut keterangan, Teoh Hon Chun mempunyai hubungan kerja rasmi dengan tertuduh melibatkan Projek Pembinaan Jalan Pintas, Kampung Gersik, Wilayah Persekutuan Labuan.

Bagi dua kesalahan itu, Ismail didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rozana Abdul Hadi sementara tertuduh diwakili peguam Zahir Shah.

Hakim membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 kepada tertuduh, selain perlu menyerahkan pasport dan melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya pada setiap bulan.

Kes ditetapkan pada 17 Julai depan bagi sebutan semula.

Sumber: Kosmo