Pengerusi GAUM Tawar Peguam Bantu Florence Goh Saman Rafizi


ALOR SETAR - Pengerusi Gerakan Akar UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar bersedia menawarkan panel peguam bagi membantu Florence Goh yang menjadi 'mangsa' kepada Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.  

"Saya sendiri secara peribadi akan pergi berjumpa dengan Florence Goh bagi meminta beliau menyaman Rafizi dan bersedia menyediakan panel peguam sekiranya perlu untuk membantunya” kata Zulkarnain.

Menurut Pengerusi GAUM itu dalam satu kenyataan akhbar semalam, permohonan maaf secara terbuka yang dibuat oleh ahli Parlimen Pandan itu sama sekali tidak boleh diterima.

Sebaliknya, beliau menggesa Florence Goh menyaman Rafizi bagi memberikan pengajaran yang setimpal dengan perbuatan memalukan orang lain yang telah dilakukannya. 

Rafizi sebelum ini dengan penuh yakin kononnya beliau mempunyai dokumen bagi menyokong tuduhan tersebut mendakwa seorang wanita bernama Florence Goh mempunyai kaitan dengan Godfrey Group Ltd, syarikat yang dikatakan membayar RM1.07 juta kepada seorang pelobi Washington yang diupah oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Permohonan maaf itu bagaimanapun hanya dibuat selepas Florence atau nama sebenarnya, Goh Siew Boy menafikan yang syarikatnya dan beliau terlibat dalam dakwaan berkenaan melalui sidang akhbar semalam..

Dalam kenyataan permohonan maaf itu, Rafizi mengesahkan bahawa Goh Siew Boy dari CRT Insights Technologies Sdn. Bhd. bukanlah Florence Goh sebagai Pengarah Godfrey Group Ltd. yang didakwanya terlibat dalam kontrak melobi itu, sebaliknya menamakan pula individu lain iaitu Goh Swee Gaik sebagai pengarah syarikat yang dimaksudkan itu yang terletak di Jalan Molek 2/3, Taman Molek, Johor Baru

Sementara itu,  Zukarnain juga berkata sewajarnya Rafizi meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Naib Presiden PKR kerana pelbagai 'kerosakan' telah dilakukannya. -Kedahnews.com