BANDAR BARU SALAK TINGGI - Penggali kubur di daerah Sepang menyifatkan hampir 30 tahun mereka tidak dirai dalam sebarang majlis sempena menjelang Aidilfitri.
Demikian perkongsian sebahagian penerima bantuan sumbangan Aidilfitri Umno Bahagian Sepang yang ditemui Sinar Harian di Bandar Baru Salak Tinggi,
Seorang penggali kubur dari Sungai Lang Baru, Jailani Subari, 62, berkata, walaupun jarang mendengar penggali kubur dirai namun beliau bersyukur masih diberi peluang untuk turut serta dirai dalam Majlis Iftar meraikan 150 Penggali Kubur di Daerah Sepang.
Menurutnya, dia memulakan kerjaya sebagai penggali kubur sejak berumur 40an lagi dan pelbagai pengalaman diperoleh.
"Cuma apa yang pakcik harapkan, golongan muda dapat turut serta menjadi penggali kubur sebagai pelapis.
"Walaupun bukan secara sepenuh masa namun cukup sebagai pelapis di setiap kampung supaya ada 'back up' jika terdapat rakan-rakan penggali kubur tidak berkelapangan," katanya.
Bagi Miswan Mardin, 69, dia turut mengakui penggali kubur antara kerjaya yang susah hendak diceburi.
Katanya, kerana sebab itulah, penggali kubur jarang dirai dalam majlis-majlis utama namun baginya tiada masalah sebab kerjaya penggali kubur ini sangat mulia.
Miswan yang sudah lebih 20 tahun menjadi penggali kubur berpendapat, sekiranya hendak mencari pelapispun, bukan boleh cari suka-suka tetapi dengan rela hati.
"Kita tak pernah paksa orang muda jadi pelapis untuk menggali kubur sebab nanti susah, kalau mereka tak minat tapi masih ada orang muda yang konsisten buat kerja ini (menggali kubur).
"Cumanya jangan paksa mereka, biar mereka sendiri nak buat kerja ni," katanya.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Sepang, Datuk Marsom Paing berkata, kepimpinan Umno Bahagian Sepang terpanggil meraikan 150 orang penggali kubur sekitar Daerah Sepang dalam Majlis Iftar di di perkarangan Bangunan Umno Bahagian Sepang, semalam.
Menurutnya, beliau mengakui peranan dan tugas murni mereka tanpa mengira waktu pagi, tengah hari, petang atau pun malam bersiap sedia untuk menggali kubur sekiranya terdapat kematian di sesebuah kanpung.
"Bagi saya kerjaya penggali kubur bukan semua orang mampu melakukan..mereka perlu kuat dan rela hati tanpa paksa.
"Saya sendiri sering mengadakan ziarah sehingga ke kubur dan terfikir mereka ini merupakan insan yang kuat.
"Jadi tak salah kali ini saya memberi fokus kepada mereka terutama dalam memberi semangat dan bertukar pandangan dalam menyokong kerjaya mereka tidam kira usia muda atau tua," katanya.
Sumber: Sinar Harian