Penguatkuasa DBKL Disembur Lada Ketika Jalankan Tugas

Image result for Penguatkuasa DBKL Disembur Lada Ketika Jalankan Tugas

EMPAT PULUH penjaja minuman tanpa permit ditahan termasuk lima wanita dalam Operasi Bersepadu Khas di Jalan Masjid India dan Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, berkata operasi itu dijalankan selepas pihaknya menerima laporan berhubung dua insiden membabitkan penjaja minuman di kawasan itu.

“Kami menerima laporan anggota penguat kuasa DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) diserang dengan penyembur lada ketika hendak menyita barangan penjaja minuman tanpa permit di Jalan Masjid India pada 12 tengah malam.

"Pada hari sama juga, berlaku pergaduhan membabitkan tiga lelaki yang dipukul sekumpulan penjaja minuman dengan seorang mangsa 22 tahun cedera di kepala, pada kejadian 1.40 pagi," katanya.

Mohd Sukri berkata, pihaknya menahan 40 penjaja air minuman tanpa permit di kawasan itu berusia antara 20 hingga 35 tahun itu bagi mengesan individu terbabit dalam kedua-dua insiden berkenaan.

"Kami juga sudah menahan enam individu berusia antara 20 hingga 30 tahun yang dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan itu.

“Seorang lelaki berusia 20-an turut ditahan bagi membantu siasatan kes serangan terhadap anggota penguatkuasa DBKL.

“Saya menyeru kepada peniaga agar mendapatkan lesen daripada DBKL untuk berniaga bagi mengelak tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka," katanya.

Sumber: Harian Metro