Peniaga Sate Ayam Di Bali Guna Daging Anjing?


JIKA anda pernah berkunjung ke pusat peranginan terkenal Indonesia, Bali dan pernah menjamah sate ayam yang dijual di tepi-tepi jalan di sana, jangan terkejut jika mengetahui kenyataan bahawa anda sebenarnya telah termakan daging anjing.

Menurut satu laporan yang didedahkan oleh badan bebas, Animals Australia baru-baru ini, peniaga sate ayam di sana kantoi sebenarnya menggunakan daging anjing sebagai bahan asasnya.

Dalam penyiasatan yang dilakukan sebuah badan bebas, mereka mendapati berlaku penjualan daging anjing secara haram di kawasan tersebut.

Anjing-anjing tersebut dikatakan dilayan teruk bila mana diracun, dicekik sehingga mati sebelum daging mereka dilapah untuk dijadikan sate.

Makan daging anjing adalah sah di Indonesia tetapi membunuh binatang dengan cara kejam diletakkan racun adalah salah di sisi undang-undang.

Pengarah kempen Animals Australia, Lyn White memberitahu ABC, “Penjualan daging anjing melanggar akta penderaan binatang serta akta keselamatan makanan.”

Dalam sebuah video yang dirakam secara curi-curi oleh wartawan yang menyamar, seorang peniaga sate di kawasan tumpuan pelancong itu mengakui dia menjual daging anjing.

Tapi bila dia dihampiri sekumpulan pelancong dari Australia, dia menipu dengan menyatakan sate yang dijualnya itu adalah sate ayam. –Kedahnews.com