KUALA LUMPUR - Setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, rata-rata pengguna media sosial di negara ini pastinya menantikan video-video lebaran diterbitkan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Petronas, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) dan lain-lain.
Sukar untuk menentukan video raya terbaik setiap tahun kerana kebanyakannya yang dihasilkan adalah berkualiti, sarat dengan mesej tertentu dan mampu menyentuh hati setiap batang tubuh yang menontonnya.
Salah satu karya mencuri tumpuan sempena Aidilfitri tahun ini adalah video terbitan Pelaburan Mara Berhad (Pelaburan Mara) yang berdurasi 7 minit 56 saat yang menggunakan tajuk Ikhlas sebagai mesej utama video tersebut.
Video karya pengarah muda, Izuan Mokhtar itu menggandingkan barisan aktor handalan dan pemenang anugerah seperti Datuk Rahim Razali, Fauziah Ahmad Daud, Wan Hanafi Su, Azizah Mahzan, Faizal Hussein, Datin Seri Umie Aida, Harun Hashim, Fadilah Mansor, Roslan Salleh dan Que Haidar.
Selain itu, video lain yang turut mencuri tumpuan di media sosial adalah bertajuk Dugaan Raya Aida berdurasi 4 minit 2 saat terbitan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Biarpun tidak menggunakan pelakon popular sebagai watak utama, Aida, video yang penuh dengan aksi lucu dan unik itu berjaya menarik minat lebih setengah juta penonton untuk menyaksikannya.
Ringkas tetapi penuh dengan pelbagai mesej, video tersebut memaparkan Aida yang terpaksa menghadapi pelbagai halangan dan tekanan untuk pulang berhari raya serta penekanan terhadap watak itu untuk memenuhi kehendak baju raya daripada keluarga di kampung.
Telekom Malaysia Berhad (TM) pula menampilkan kelainan pada video mereka tahun ini dengan mengketengahkan tiga orang kanak-kanak sebagai watak utama, Tok Mat yang merupakan sebatang kara, tinggal di hujung kampung dipulaukan oleh penduduk lain sejak kematian isterinya.
Namun, disebalik kisah itu, tiga watak kanak-kanak ditampilkan cuba merungkai permasalahan penduduk kampung yang kerap diselesaikan oleh lelaki misteri sehinggalah mereka bercadang mencari siapa individu berkenaan.
Selepas diketahui kebaikan Tok Mat, kanak-kanak berkenaan menceritakan tersebut kepada penduduk kampung dan akhirnya hubungan antara mereka dipulihkan dan mereka dapat beraya bersama.
Banyak lagi video-video menarik Hari Raya Aidilfitri tahun ini seperti karya Petronas, Pos Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan lain-lain yang menjanjikan pelbagai mesej dan lakaran cerita menarik dihidangkan kepada pengguna media sosial di negara ini.
Sumber : Utusan Online