Perbelanjaan Kerajaan Untuk Pesara Dijangka Meningkat Kepada RM100 Bilion Pada 2050 - PM


PUTRAJAYA - Jumlah pesara kerajaan dijangka meningkat daripada 775,000 orang ketika ini kepada 1.5 juta pada 2050 seiring trend peningkatan jangka hayat penduduk daripada 75 tahun kepada 85 tahun dalam tempoh tersebut, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata trend itu turut dijangka meningkatkan perbelanjaan kerajaan untuk pesara daripada RM20.35 bilion pada 2016 kepada RM100 bilion pada 2050.

"Bagi pihak kerajaan, kita sedang meneliti trend ini dan implikasi besar kepada masa depan negara yang melibatkan tuntutan untuk membuat pengubahsuaian kepada polisi dan dasar yang dijalankan kerajaan," katanya pada majlis berbuka puasa bersama 2,000 pesara kerajaan di Seri Perdana, di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia Tan Sri Aseh Che Mat.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata satu lagi trend yang dijangka mampu memberi kesan besar kepada daya saing dan produktiviti negara ialah kadar kelahiran yang semakin menurun, sekali gus menjadikan Malaysia sebuah negara menua.

"Kita perlu kadar kelahiran 2.1 peratus, tetapi hari ini kadar replacement (kelahiran) kita turun kepada 1.9 peratus, bererti semakin hari kita akan jadi aging society (masyarakat menua)," katanya.

Najib berkata di Jepun, pertumbuhan negara itu sangat perlahan akibat fenomena masyarakat menua yang telah mengubah struktur negara tersebut.

Justeru katanya, percambahan fikiran perlu dilakukan untuk menentukan perubahan yang perlu dilakukan terhadap dasar-dasar negara.

"Apakah implikasinya kepada kos kesihatan atau (adakah) yang bersara mempunyai cukup simpanan dan dana untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan selesa.

"Mereka yang bersara kerajaan mungkin akan memperoleh pendapatan lebih selesa berbanding swasta, walaupun saya sedar yang bersara dari kerajaan pun ada cabaran yang terpaksa dihadapi," kata Najib.

Najib berkata kerajaan akan sentiasa mengambil berat kebajikan pesara-pesara kerajaan yang telah berbakti kepada negara dan berharap mereka juga akan meneruskan perjuangan bersama kerajaan.

Menurutnya sejak beliau menjadi Perdana Menteri pada 2009, beberapa penambahbaikan telah dilakukan oleh kerajaan terhadap Skim Faedah Persaraan penjawat awam, antaranya pemberian pencen kepada pegawai lantikan selepas 12 April 1991 yang bersara pilihan diawalkan daripada tarikh mencapai umur persaraan wajib kepada tarikh mencapai umur 55 tahun.

Selain itu, katanya pembayaran pencen terbitan dipanjangkan daripada tempoh 12 tahun setengah kepada 20 tahun daripada tarikh persaraan, kepada balu atau duda yang dikahwini dalam persaraan.

Beliau berkata kenaikan kadar pencen sebanyak dua peratus turut diberikan pada setiap tahun mulai 2013 selain kenaikan gaji tahunan bagi pegawai yang bersara wajib pada tarikh sehari sebelum persaraannya bagi pegawai yang belum menerima pergerakan gaji bagi tahun tersebut.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan sumbangan kerusi roda daripada Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia kepada lima pesara yang memerlukan. - BERNAMA