ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menasihati para ibu dan bapa agar sentiasa mengawasi anak-anak ketika mereka sedang bermain mercun.
Tindakan tersebut perlu bagi membendung dan mengelakkan daripada berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini sepanjang bulan Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Setiap ibu bapa perlu memainkan perana penting bagi menjamin keselamatan anak-anak khususnya ketika mereka berada di luar rumah dan ketika terlibat dengan 'keseronokan merbahaya' tersebut.
“Diharap ibu bapa tidak berkompromi dalam soal ini. Bermain mercun melibatkan soal keselamatan diri.
“Jangan sekali-kali membenarkan anak-anak bermain mercun sehingga boleh mendatangkan kecederaan serius sehingga mendatangkan kecederaan serius seperti kes tangan hancur akibat terkena mercun,” katanya, pada majlis sumbangan Ihya Ramadan kepada anak yatim, anak istimewa dan balu Polis Kedah, di sini, baru-baru ini.
Selain itu, pihak berkuasa kini sedang giat membanteras penjualan mercun secara haram dan yang terlarang, hanya mercun biasa-biasa sahaja yang dibenarkan seperti bunga api dan ‘pop-pop’.
“Polis akan mengambil tindakan tegas ke atas penjual dan merampas mercun dijual. Saya berharap semua pihak mengambil serius perkara ini dan kita harap Aidilfitri kali ini dapat disambut bersama-sama ahli keluarga dengan penuh gembira,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kejadian tiga kes kecederaan akibat mercun yang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dicatatkan di Kedah bermula 3 Jun lalu.
Kes pertama, mangsa seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang cedera teruk di tangan kiri akibat mercun bola.
Sementara kes kedua pula melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun mengalami kecederaan pada mata kiri iaitu kemerahan akibat terkena mercun.
Manakala kes ketiga pula membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang mengalami kecederaan ringan iaitu luka pada permukaan kulit pada jari telunjuk kanan. - Kedahnews.com