Perniagaan Aeril Disihir Orang Tidak Bertanggungjawab


PADA zaman serba moden, rupa-rupanya masih ada segelintir masyarakat yang percaya dengan perkara tahyul dan syirik hanya kerana rasa dendam dan tidak puas hati terhadap orang lain.

Di akhir-akhir Ramadan yang bakal meninggalkan kita tidak lama lagi, gempar apabila aktor Aeril Zafrel mendakwa ada pihak yang cuba melakukan perbuatan syirik untuk sabotaj perniagaannya.

Aeril turut memuat naik gambar benda pelik di Instagram miliknya kelihatan seperti beberapa batang lidi diikat yang dijumpainya di gerai jualannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada malam Ahad.

"Jumpa benda ini dekat booth masa berniaga malam tadi di PWTC. Apalah niat sebenarnya? Astaghfirullah...," tulisnya pada kapsyen.

Dakwa Aeril, ia bukan kali pertama dia menemui benda yang sama di gerainya malah kejadian serupa pernah berlaku ketika dia berniaga di Johor.

"Bulan Ramadan pun nak buat macam ni, bukan booth di Kuala Lumpur saja, tetapi gerai kami di Johor pun sama. Ada staf jumpa benda sama," katanya.


Dalam pada itu, Aeril menyatakan rasa kesal apabila masih ada orang yang percaya kepada perkara tahyul walaupun sekarang bulan Ramadan.

Tidak mendedahkan dalang disebalik perbuatan itu, Aeril bagaimanapun memberi bayangan dia mengetahui gerangan yang cuba melakukan perbuatan syirik itu menerusi hastag #iknowwhouare (saya tahu siapa anda).

"Cukup-cukuplah, percaya pada rezeki masing-masing. Hasbunallahhu wani'malwaqil ni'malmaula wani'malnaseer...#iknowwhouare," tulisnya.

Malah Aeril sudah merujuk barang pelik yang ditemuinya itu kepada pakar dalam bidang perubatan Islam dan dia diberitahu ia adalah salah satu bentuk sihir.

"Zaman sekarang ada lagi orang percaya benda-benda ni. Sudah bawa pergi jumpa pakar dalam bidang ini, ternyata ia sihir," tulisnya lagi.

Pihak mStar Online cuba mendapatkan penjelasan Aeril untuk mengulas hal itu lebih mendalam namum dia tidak menjawab panggilan telefon.

Sumber : Mstar Online