KUALA NERANG - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) memperuntukkan RM11.54 juta bagi membina Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pada tahun ini.
Adun Kuala Nerang, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, sebanyak RM5.04 juta diperuntukkan untuk membina 90 rumah baharu, manakala RM6.5 juta untuk baik pulih 500 rumah di seluruh Kedah.
Menurutnya, peruntukan ini daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang mana setiap rumah baru dibina dengan kos RM56,000 dan RM13,000 untuk baik pulih sebuah rumah.
"Pemilihan penerima ini dilakukan menerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang akan menentukan individu layak menerimanya.
"Ini termasuklah mereka daripada kalangan orang miskin, ibu tunggal dan warga emas yang mempunyai rumah semakin uzur,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Gotong-royong Baik Pulih Rumah anjuran Keda dan Pejabat Adun Kuala Nerang di Kampung Pong. di sini.
Penerima, Siti Hajar Kahar, 74, berkata, dia berterima kasih kerana terpilih dalam program itu bagi membaiki rumahnya yang sudah berusia 40 tahun.
Katanya, sebelum ini rumahnya itu keseluruhannya sudah dimakan anai-anai hingga menyebabkan bimbang keselamatannya terutamanya pada masa angin kuat.
"Nak harapkan tok, dah pasti tak mampu nak baiki lagi. Alhamdulillah kerajaan datang baiki rumah usang ini.
"Sekarang tok lebih yakin nak tinggal sini. Lebih-lebih lagi bila angin kuat datang sebab tiang rumah dah dibaiki selepas dimakan anai-anai," katanya.
Sumber: Sinar Harian