Peruntukan Besar Untuk RISDA Matikan Hujah Pembangkang Konon Negara Bankrap


PEKAN - Kemampuan kerajaan menyediakan peruntukan yang besar untuk Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (RISDA) menangkis dakwaan pembangkang yang mengatakan negara ini akan bankrap.

Menteri Kemajuan,  Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata  RISDA menyediakan peruntukan berjumlah RM358.8 juta tahun ini bagi program tanam semula serta pelbagai program lain bagi membantu pekebun kecil seluruh negara. 

"Ia sekali gus menafikan dakwaan pembangkang bahawa projek pembangunan dan kemajuan untuk luar bandar oleh RISDA dihentikan", kata Ismail pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Dividen RISDA  yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini kelmarin.

"Mereka (pembangkang) kata kerajaan tidak ada duit, ini tidak betul, kita telah buktikan melalui peruntukan daripada RISDA membabitkan pemerkasaan program tanam semula dan mempergiatkan aktiviti hiliran syarikat milikan mereka, " katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera menjelaskan  peruntukan itu  membuktikan pembangkang berbohong dan tidak boleh dipercayai.

Semalam Perdana Menteri juga mengumumkan sebanyak 33,864 pekebun kecil RISDA di seluruh negara bakal menikmati ‘durian runtuh’ untuk mereka membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Kerajaan bersedia membuat bayaran dividen berjumlah RM106.81 juta kepada golongan itu bagi tahun ini.

Penerimanya  merangkumi 16,080 peserta Rancangan Tanam Baharu Berkelompok (RTBB) sebanyak RM38.16 juta dan 17,784 peserta Tanam Semula Komersial (TSK) sebanyak RM68.64 juta. - Kedahnews.com