ALOR SETAR - Apabila kerajaan Pulau Pinang membuat pinjaman dari China, DAP menyatakan ia adalah sesuatu langkah yang baik untuk negeri itu.
Namun setelah kerajaan Pusat membuat pelaburan dengan negara luar, pembangkang menuduh Perdana Menteri hendak 'jual negara'.
Inilah sikap dwi - standard yang diamalkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan parti-parti pembangkang lain.
Baru-baru ini, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menyifatkan pinjaman luar itu adalah satu pengiktirafan daripada kerajaan China terhadap kerajaan negeri berdasarkan kepada prestasi kewangan negeri yang baik.
Pulau Pinang meluluskan Rang Undang-Undang Pinjaman Negeri Pulau Pinang 2017 yang membolehkan kerjaaan negeri membuat pinjaman daripada sebuah bank di China.
Bagaimanapun sikap dwi-standard dan 'cakap tidak serupa bikin' yang diamalkan kerajaan Pulau Pinang itu dibidas oleh Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada sidang akhbar selepas beliau merasmikan Pusat 'Jalur dan Laluan' MCA Pulau Pinang di sini semalam.
Tiong Lai menyifatkan kerajaan negeri pimpinan DAP sebagai 'cakap tidak serupa bikin' kerana gagal menunaikan 51 janjinya kepada rakyat selepas mengambil alih negeri itu selama sembilan tahun.
"Kita tak mahu jadi macam kerajaan negeri Pulau Pinang.....buat janji yang bukan-bukan tetapi sampai hari ini ia tak dapat ditunaikan lagi, " sindir beliau.
"Kita (Barisan Nasional) sebagai kerajaan bertanggungjawab akan tunaikan apa yang dijanjikan. Kita akan pastikan negara kita terus pesat membangun," kata Tiong Lai lagi.
Menurutnya, MCA akan terus fokus dalam menyampaikan hasil dengan membuat pelbagai pembangunan konstruktif untuk negara ini berbanding parti pembangkang yang sering mengamalkan politik menghasut dan hasad dengki.
Tiong Lai berkata, usaha kerajaan membawa masuk pelaburan asing ke negara ini bertujuan baik bagi rakyat, tetapi malangnya pemimpin Pakatan Harapan cuba mengelirukannya dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak benar.
"Kita tidak akan memutar belit isu-isu yang ada kerana kita tahu, sebagai contoh apabila dapat pinjaman daripada China, kita menerima sokongan dari segi belt and road ( jalur dan laluan), " kata beliau.
Belt and Road Centre (Mbrace) yang dilancarkan Disember tahun lepas, bertujuan membolehkan usahawan Malaysia dan China merebut peluang melalui pertukaran maklumat dan pemadanan perniagaan.
Menurut beliau, pembangkang bagaimanapun cuba menyatakan pelbagai kesan negatif seperti mendakwa negara akan terjajah kepada China, hendak jual negara (kedaulatan) dan sebagainya sedangkan fakta itu tidak betul.
"Kerajaan BN nak menyatu padukan rakyat, bukan sahaja komuniti Cina malah berbilang kaum untuk kita tumpukan pembangunan negara, bukan merosakkan negara dengan mencaci, menghasut, hasad dengki pada negara sendiri," katanya lagi. -Kedahnews.com