Pisang Berbuah Dua Kali Di Kuala Nerang

Pisang berbuah dua kali

KUALA NERANG - Seorang penoreh terkejut apabila pokok pisang berangan yang ditanamnya setahun lalu berbuah semula di batang pokok itu.

Mansor Othman, 51, dari Kampung Padang Cenderai, Mukim Padang Terap Kiri berkata, dia mula menyedari pisang itu berbuah di batang pokok ketika membersihkan kebun di belakang rumahnya.

Menurutnya, pokok pisang yang sudah berbuah itu ditebang selepas di hujung pokok itu patah apabila berlakunya angin kuat baru-baru ini.

"Saya tanam bulan enam tahun lepas dan tebangnya bulan dua lalu hasil bantuan kawan yang bersihkan benih pisang itu.

"Tapi angin kuat menyebabkan pokok pisang itu patah dan saya terus tebangnya walaupun ada empat sikat pisang," katanya kepada Sinar Harian.

Mansor berkata, selepas kira-kira seminggu lalu dia pergi ke kebun pisang di belakang rumah bagi membersihkan kawasan kebun.

"Tiba-tiba saya nampak pokok pisang yang saya tebang itu ada setandan pisang tumbung di batangnya.

"Sebelum ini belum pernah pokok yang dah berbuah dan ditebang boleh keluarkan buah semula," katanya.

Katanya, pisang seberat 0.8 kilogram itu mempunyai empat sikat dan semakin membesar.

"Sejak itu ramai kawan-kawan dan jiran datang rumah untuk tengok benda yang jarang berlaku," katanya.

Tambahnya, sepanjang menjadi petani, selalunya pucuk yang akan tumbuh kalau pokok pisang ditebang tetapi kali ini buah pisang yang tumbuh.

"Saya tak pernah tengok kejadian macam ini. Ini kali pertama terjadi sejak jadi petani selama 30 tahun," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pejabat Jabatan Pertanian Padang Terap, Yuzaidi Azmi berkata, selalunya apabila memotong psedostem pisang, akan nampak pusar di tengah-tengah batang pokok pisang itu.

Menurutnya, kemungkinan pokok pisang itu mempunyai dua pusar dan ini membolehkan pokok pisang itu mampu berbuah kali kedua.

"Kejadian itu jarang boleh didapati dan mungkin berlaku satu dalam seribu apabila proses pertumbuhan semula berlaku selepas pokok pisang itu ditebang.

"Buah yang dihasilkan juga adalah tidak normal seperti biasa dan mungkin kecil atau akan gugur begitu sahaja," katanya.

Sumber: Sinar Harian