KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak umat Islam untuk mensyukuri nikmat kelebihan dan kemeriahan sambutan Aidilfitri di negara ini.
Menurut Perdana Menteri, di sesetengah negara Islam, mereka tidak beruntung seperti rakyat negara ini yang mana Aidilfitri disambut dengan cukup sederhana.
Malah kata beliau, lebih menyedihkan lagi ada yang langsung tidak punya peluang menyambut Syawal kerana nyawa bagai di hujung tanduk apabila keganasan tanpa mengira masa sering menimpa mereka.
“Kelebihan dan kemeriahan Aidilfitri di Malaysia, hasil rahmat dan kurniaan Yang Maha Esa ini perlu kita terus syukuri dan lindungi sentiasa.
“Insya-Allah, sekiranya kita terus berusaha sehati dan sejiwa, bersatu padu sebagai sebuah negara, keistimewaan dan kelebihan ini dapat kita pelihara sentiasa dan Aidilfitri saban tahun dapat terus kita raikan bersama dalam suasana gembira,” katanya menerusi blog beliau semalam.
Najib berkata, umat Islam mesti terus mendoakan saudara seagama yang kurang bernasib baik dan mendoakan agar Allah melindungi dan memberi keamanan buat mereka.
Sumber : Utusan Online