PM Puji Usaha MAHB Tingkat Kebersihan Tandas KLIA, KLIA2


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi memuji usaha Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam meningkatkan kebersihan tandas di dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Tahniah kepada @MY_Airports atas usaha penambahbaikan kebersihan tandas-tandas KLIA dan KLIA2. Imej dan keselesaan penting untuk pelancongan," kata Najib dalam catatan di laman Twitter.

Dalam catatan itu, Perdana Menteri turut memuat naik tiga keping foto yang menunjukkan tandas di KLIA yang berada dalam keadaan kemas dan bersih.

Awal pagi semalam, MAHB dalam laman Twitter mengumumkan bahawa tandas yang baru diubahsuai bagi Fasa 1 Projek Tandas di KLIA kini dibuka.

Malaysia Airports mengendalikan lima lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik dan 18 pangkalan berlepas dan mendarat dalam jarak pendek yang menyediakan perkhidmatan ke kawasan pedalaman dan terpencil di Malaysia. - BERNAMA