PM Rasmi Projek ToD Cyberjaya City Centre


CYBERJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam merasmikan projek pembangunan beroreintasikan transit (ToD) dikenali sebagai Cyberjaya City Centre, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM5.3 bilion, bagi fasa pertama projek.

Projek pembangunan bersama antara Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dan Cyberview Sdn Bhd itu akan dimajukan dalam tiga fasa dengan GDV sebanyak RM11 bilion.

Perdana Menteri berkata projek ToD itu akan meningkatkan hab teknologi negara dan Cyberjaya City Centre merupakan pembangunan berimpak tinggi yang menjadi kunci utama pelaburan di Cyberjaya.

"Projek ini merupakan 'game changer' (pembawa perubahan) yang bakal melengkapkan lagi transformasi Cyberjaya sebagai Hab Teknologi Global dan bandar pintar," katanya.

Najib berkata ekonomi digital mempunyai potensi untuk menyumbang 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara menjelang 2020.

"Dalam menggerakkan ekonomi digital, pembangunan ekosistem digital yang kondusif perlu dititik beratkan.

Beliau berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, agenda ekonomi digital telah dipergiatkan dan diperhalusi dari semasa ke semasa menerusi pelbagai inisiatif dan kerjasama yang telah diperkenalkan untuk mengukuhkan lagi matlamat ini.

Najib berkata syarikat-syarikat teknologi di Cyberjaya berjaya menjana perolehan lebih RM12.5 bilion pada tahun lepas.

"Ini merupakan peningkatan 28 peratus daripada 2015, dan jumlah pelaburan syarikat-syarikat ini pada 2016 mencecah lebih RM8 bilion," kata beliau dan menambah Cyberjaya kini mempunyai lebih 800 syarikat teknologi dengan 48 daripadanya adalah syarikat multinasional.

Sementara itu, ciri utama projek ToD Cyberjaya City Centre ialah kesalinghubungannya melalui rel dan jalan.

Terletak bersebelahan dengan Putrajaya, pusat pentadbiran persekutuan Malaysia, ia dihubungkan dengan Kuala Lumpur melalui dua lebuh raya utama dan akan diintegrasikan dengan Laluan 2 MRT (Kajang-Serdang-Putrajaya).

Cyberjaya City Centre akan mempunyai pusat konvensyen dan hotel, menara pejabat bersepadu dengan stesen MRT, pusat membeli-belah serta pangsapuri berperkhidmatan dengan ruang niaga dan akan membentuk sebahagian penting Koridor Raya Multimedia Malaysia. - BERNAMA