ALOR SETAR - Sebuah rumah milik seorang warga emas di Kampung Batu 18, Bandar Baharu dihempap sebatang pokok Bacang tumbang sepanjang lebih enam meter, petang kelmarin.
Detik cemas tersebut menimpa Abd Rahim Sidek, 70, yang pada ketika itu tinggal bersendiriam di rumahnya.
Ketika kejadian, hujan lebat beserta dengan angin kencang dan dia sedang berehat di ruang tamu rumahnya, tidak lama selepas itu dia terkejut apabila terdengar bunyi yang kuat seperti sesuatu patah di bahagian belakang rumahnya dan diikuti dengan dentuman yang kuat.
"Mula-mula dengar macam bunyi benda patah, tapi beberapa saat kemudian dengar dentuman kuat atas bumbung," katanya.
Dia segera bergegas ke belakang rumah dan berlari keluar membuka pintu sebelum terkejut apabila mendapati beberapa biji buah bacang jatuh tergolek di hadapan rumah.
"Bila diperiksa, terkejut nampak pokok bacang berusia lebih 50 tahun tumbang dan menimpa rumah," katanya.
Menurutnya, dia sememangnya sudah berniat untuk menebang pokok itu yang ditanam kira-kira tiga meter dari rumah selepas buahnya masak.
"Memang dah niat nak tebang pokok bacang belakang rumah, tapi nak tunggu buah masak dulu.
"Saya berjaga-jaga juga takut pokok itu tumbang, tapi semalam dah sampai masanya," katanya lagi.
Akibat kejadian tersebut, bahagian belakang rumahnya mengalami sedikit kerosakan dan beberapa atap zink di bahagian bilik rosak, namun dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecelakaan.
"Habis atap zink rosak. Air hujan pun masuk dalam bilik.
"Kerja pemotongan dan pengalihan pokok dah dibuat petang semalam (kelmarin) oleh adik saya," katanya. - Kedahnews.com