KUALA NERUS - Polis Terengganu merampas mercun dan bunga api bernilai RM65,300 dalam tempoh tiga minggu bulan Ramadan melibatkan 28 rampasan di enam daerah di negeri ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata dalam rampasan terbabit, seramai 22 individu berjaya ditahan.
Katanya daerah Kuala Terengganu merekodkan rampasan tertinggi menerusi 10 rampasan membabitkan nilai RM33,900 dan tujuh tangkapan.
"Ini diikuti daerah Marang dengan lapan rampasan melibatkan RM10,200 dan lapan tangkapan, manakala Besut, satu rampasan bernilai RM10,000 dan satu tangkapan, dua rampasan berjumlah RM2,900 dilakukan di Hulu Terengganu dengan satu tangkapan.
"Daerah Dungun sebanyak tiga rampasan bernilai RM5,000 dan tiga tangkapan dibuat, manakala daerah Kemaman sebanyak RM3,300 bahan terlarang itu telah dirampas menerusi empat rampasan serta dua tangkapan," katanya kepada pemberita selepas Program Jom Ronda Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Batu Rakit, awal pagi tadi.
Turut hadir, Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman.
Aidi berkata stok mercun dan bunga api itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk edaran sepanjang Ramadan ini dan majoriti individu yang ditahan adalah peniaga baharu.
"Kita akan terus melakukan pemantauan dan risikan bagi menyekat kemasukan bahan-bahan terbabit yang boleh mendatangkan kecederaan kepada orang ramai," katanya.
Kesemua mereka yang ditahan berusia sekitar 24 hingga 40 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Beliau berkata sepanjang Ramadan ini, pihaknya turut melakukan sebanyak 629 rondaan di kawasan masjid di seluruh Terengganu bagi mencegah orang ramai bermain mercun di kawasan itu sehingga mengganggu jemaah melakukan ibadat. - BERNAMA