KUCHING - Barisan Nasional (BN) Sarawak sudah menerima senarai beberapa calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut.
Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi BN negeri berkata calon yang akan dipilih untuk bertanding akan diputuskan dalam mesyuarat BN Sarawak yang dijangka diadakan sebelum proses penamaan calon.
"Nama sudah ada tetapi saya akan umumkan selepas mesyuarat BN Sarawak. Sama ada BN akan meletakkan 'calon langsung' juga akan diteliti dan bergantung kepada keadaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri bagi DUN Satok di sini, semalam.
PRK DUN Pujut diadakan berikutan pelucutan kelayakan keanggotaan penyandangnya Dr Ting Tiong Choon daripada DAP sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) oleh DUN Sarawak pada 12 Mei lepas.
Pada Plihan Raya Negeri ke-11 Mei tahun lepas, Dr Ting menang dengan majoriti 1,759 undi menewaskan tiga calon lain iaitu Datuk Hii King Chiong (BN), Jofri Jaraiee (PAS) dan Fong Pau Teck (Bebas).
Formula calon langsung diperkenalkan oleh Ketua Menteri sebelum ini Allahyarham Tan Sri Adenan Satem bagi menyelesaikan perbalahan antara Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan parti serpihannya, Parti Rakyat Bersatu (UPP).
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata BN Sarawak menyedari mereka bakal berdepan cabaran untuk merebut undi penduduk kawasan tersebut namun tetap optimis untuk melakar kemenangan.
"DUN Pujut adalah kawasan DAP jadi bermaksud untuk kita ia tugas sukar, kita mesti sedar realitinya tetapi kemungkinan untuk menang tetap ada, bukan mudah tetapi kalau kita kerja kuat, boleh menang," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil DUN Pujut pada 4 Julai manakala penamaan calon 20 Jun. - Bernama