Program Suami 4 Isteri Trending Di Afrika Selatan


CAPE TOWN - AFRIKA SELATAN - Bagi mengubah persepsi masyarakat mengenai poligami, sebuah program TV dibuat khusus menceritakan mengenai kisah ini.

Sebelum ini, ramai masyarakat di negara itu seakan memandang enteng terhadap mereka yang berpoligami.

Ekoran itu, sebuah stesen TV di Afrika Selatan mewujudkan sebuah program yang diberi nama Uthando Nes'thembu, bermaksud ‘Cinta dan Poligami.’

Biarpun program seumpama ini pernah dibuat dahulu, namun terbaharu, ia dibuat lebih mesra penonton dengan format lebih santai.

Musa Mseleku, yang mempunyai empat isteri menjadi ‘hero’ dalam program ini.

Memetik laporan BBC, Musa berkata, dia bersetuju untuk muncul di dalam program ini adalah semata-mata untuk mengubah persepsi masyarakat berkaitan poligami.

“Saya kongsikan kisah kehidupan saya yang sebenar bersama isteri-isteri dan anak-anak. Lebih menarik kesemua isteri saya memberikan kerjasama terbaik," katanya.

Selain empat isteri, pemaju hartanah berusia 43 tahun ini juga dikurniakan 10 anak dan kesemua ahli keluarganya itu muncul dalam program tersebut.

Ditayangkan sejak 19 Mei lalu, program ini terus menjadi trending di Twitter di Afrika Selatan, dengan beribu-ribu tweet.

Menjalani penggambaran di sekitar Mselekus, rumah ladang luar bandar yang berhampiran Durban, dan pantai selatan KwaZulu-Natal.

Kesemua isteri Musa masing-masing mempunyai rumah mereka sendiri tetapi dalam kawasan yang sama.

“Rumah mereka berdekatan. Ia memudahkan saya untuk berulang alik dan mengikut giliran. Saya amalkan gaya hidup biasa tetapi lebih banyak toleransi. Inilah yang saya nak masyarakat tahu.

"Itulah salah satu sebab untuk membolehkan orang melihat poligami bukanlah perkara yang buruk semata-mata,” katanya. 

Musa mahu menunjukkan lelaki yang ingin berpoligami perlu menjadi suami yang bertimbang rasa.

“Bagaimanapun, tidak semua orang bersetuju. Ada juga yang melahirkan penghargaan, ada yang merasakan bahawa gaya hidup yang memang terhad.

"Saya percaya dalam setiap dan setiap rumah, terutamanya kita sebagai warga Afrika Selatan, kami percaya suami adalah seperti tuhan, perlu dihormati."

Thobile Mseleku, isteri keempat Musa, memberitahu BBC, menjadi isteri kepada Musa adalah anugerah buatnya.

Thobile dan Musa telah berkahwin selama sembilan tahun. 

Selain Thobile, isteri Musa yang lain adalah Busisiwe MaCele, Nokukhanya MaYeni dan Mbali MaNgwabe.

Kesemua mereka sudah seperti adik-beradik dan bergantung kepada satu sama lain untuk mendapatkan nasihat mahupun bantuan.

Di Afrika Selatan, poligami tidak diterima pakai oleh majoriti orang; tidak menyalahi undang-undang, dan tidak khusus untuk agama tertentu.

Ia adalah yang paling biasa di kalangan kumpulan etnik Zulu, dan Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma, yang juga seorang Zulu, mempunyai tiga isteri.

Pensyarah di sekolah kajian Zulu di Universiti KwaZulu-Natal Ndela Ntshangase, berpandangan, kesatuan poligami di Afrika Selatan mula berkurang pada abad ke-19.

Sumber: Sinar Harian