Radio MBI Beri Impak Positif, Bertaraf Lima Bintang


IPOH - Radio Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang diwujudkan sejak Jun tahun lalu diyakini mampu memberi impak positif dan selaras dengan transformasi pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia dan lima bintang.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kesejahteraan Bandar) Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimi Abd Manaf berkata pendekatan komunikasi secara terus oleh MBI merupakan medium terbaik untuk meningkatkan perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada penduduk di bandar raya ini.

Katanya, MBI merupakan PBT pertama di negeri ini yang mewujudkan siaran radio dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada warga bandar raya di sini selain mewujudkan masyarakat bermaklumat.

"Difahamkan radio MBI boleh didengari di seluruh pelosok dunia dan saya percaya apa yang dilakukan oleh MBI memberi ruang kepada pendengar khususnya penduduk kawasan bandar raya Ipoh agar boleh berinteraksi secara langsung dengan MBI sendiri.

"Saya ucapkan tahniah kepada MBI kerana berjaya menubuhkan produk berinovasi seperti Radio MBI," katanya ketika mengadakan lawatan di Bangunan MBI yang turut dihadiri Datuk Bandar Ipoh Datuk Zamri Man di sini semalam.

Radio MBI yang beroperasi bermula 8 pagi hingga 5 petang boleh didengari dengan melayari laman sesawang MBI iaitu www.mbi.gov.my atau memuat turun menerusi aplikasi mudah alih Radio MBI di Google Play dan App Store.

Halimi berkata produk berinovasi itu secara tidak langsung dapat mendekatkan hubungan tanpa sempadan antara PBT dengan penduduk di bandar raya ini dalam menyelesaikan masalah dengan lebih berkesan dan efisien.

Sementara itu, Zamri berkata penubuhan radio MBI itu selaras dengan Pelan Transformasi PBT yang membuka lembaran baharu dalam dunia penyiaran dan dapat berinteraksi secara terus dengan penduduk serta orang berkepentingan.

"Sehingga kini Radio MBI Mempunyai lebih 25,000 pendengar dan kami yakin ia merupakan satu daripada pentas untuk memantapkan hubungan dua hala antara MBI dan penduduk bandar raya ini," katanya. - BERNAMA