Raja Muda Perlis Hadir Ziarah Ihya Ramadan MAIPs Di 2 Pulau Di Satun


SATUN, Thailand - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melakukan lawatan sehari sempena program Ziarah Ihya Ramadan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama-sama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Pulau Koh Sarai Besar dan Pulau Tanjung Keling, Satun, Thailand, semalam.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Pengarah Maritim Malaysia Wilayah Utara, Laksamana Pertama Zulkarnain Mohd. Omar, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Baginda selaku Yang Dipertua MAIPs yang mengetuai delegasi ini telah melakukan lawatan ke Masjid Nurul Ibadah, Pulau Koh Sarai Besar dan telah memberikan sumbangan kepada asnaf selain mesin penapis air minuman serta baik pulih sekolah agama dan tadika.

Selepas itu baginda dan delegasi ke Pulau Tanjung Keling untuk memberikan sumbangan dua buah tangki air kepada Sekolah Tanjung Keling dan Sekolah Tanjung Huma, almari dan buku rujukan Bahasa Malaysia daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

Sebelum berangkat pulang, baginda singgah memberikan sumbangan di Masjid Bukit Bunga, Satun dan menunaikan solat jemaah Terawih bersama penduduk kampung berkenaan. 

Sumber : Utusan Online