ALOR SETAR - Ketika Pakatan Harapan (PH) masih bercelaru dalam menyusun struktur kepimpinannya bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 yang dijangka hujung 2017 atau pertengahan tahun 2018, Tun Dr. Mahathir Mohamad kini sedang berusaha mengalih perhatian rakyat.
Ini termasuk ramalan beliau bahawa kerajaan akan mengisytiharkan darurat seperti mana yang berlaku pada tahun 1969, andainya BN gagal memperoleh kemenangan majoriti pada PRU 14.
Ramalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu bertujuan untuk memberikan 'gambaran buruk' kepada rakyat tentang masa depan negara jika BN terus diberi mandat oleh rakyat.
Apakah ramalan 'darurat' oleh bekas Perdana Menteri itu juga untuk mengalih perhatian berkaitan keputusan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal 'kehilangan' berpuluh bilion ringgit wang negara akibat spekulasi dagangan mata wang asing (Forex) yang berlaku di zaman beliau menerajui kerajaan.
Seperti pada zaman beliau berkuasa selama 22 tahun, Dr Mahathir sering kali 'mencipta' isu-isu baru bagi 'menenggelamkan' isu yang menjadi modal politik pihak pembangkang bagi menyerang diri dan kerajaan pimpinan beliau
Dr Mahathir yang menulis dalam di blognya semalam meramalkan kerajaan BN tidak akan menerima keputusan pilihan raya umum akan datang sekiranya ia menang tipis. atau kalah kepada pembangkang.
Beliau yangsebelum ini menawarkan diri untuk kembali memimpin negara, kini membayangkan pula bahawa BN akan mengisytihar darurat dan menggantung Parlimen.
“Mereka (BN) tidak akan mengaku kalah. Pembangkang pula akan dituduh menipu. Tiada bukti diperlukan untuk kerajaan mengisytiharkan perkara ini. BN sebagai pembuli sedia mewujudkan ketidakstabilan,” kata Pengerusi PPBM itu di blognya.
Beliau berkata sekiranya BN tewas kecil, mereka akan mentadbir menggunakan Majlis Gerakan Negara (Mageran) seperti mana dilakukan selepas rusuhan kaum pada 1969.
“Pada peringkat itu, BN mungkin menawarkan insentif kewangan kepada ahli Parlimen pembangkang supaya menyokong mereka. Bila BN mendapat majoriti mencukupi, darurat akan ditarik balik dan mereka menjadi kerajaan majoriti.”
Dr Mahathir juga menyebut akan berlaku penyalahgunaan kuasa “lebih teruk” dalam PRU itu berbanding dengan 'kesalahan' yang disenaraikan oleh gabungan reformasi pilihan raya, Bersih 2.0 pada PRU ke-13.
Beliau turut menuduh Perdana Menteri memberi “sejumlah besar wang” untuk membeli sokongan termasuk menyasarkan pemimpin sayap Pemuda PPBM menerusi pengagihan ''wang dan makanan”, bagi memanfaatkan acara sepanjang bulan puasa ini."
Sebelum ini, Dr. Mahathir beberapa kali menyuarakan kebimbangan tentang kesukaran pembangkang untuk memenangi PRU14 kerana tidak ada kesepakatan bagi menumbangkan BN.
Beliau mahu BN ditentang 'satu lawan satu', namun keputusan PAS meninggalkan gabungan pembangkang menyulitkan hasrat PH untuk menang PRU14 kerana pertandingan tiga penjuru tidak mungkin dapat dielakkan lagi, kerana ia memberi kelebihan kepada BN.
Kemelut yang berlaku dalam gagasan pembangkang juga berlarutan apabila tidak ada kesepakatan untuk melantik bakal Perdana Menteri dan pimpinan bagi menerajui Pakatan Harapan, selain tindakan ahli PPBM menentang kepimpinan parti mereka sendiri kebelakangan ini.
Mungkin dengan cara meramalkan 'darurat' akan diisytiharkan jika BN menang tipis pada PRU14, bagi Dr. Mahathir sedikit sebanyak meredakan kecelaruan yang melanda parti pembangkang sekarang ini. -Kedahnews.com