Rawatan Percuma Untuk Asnaf Di Kedah

  Image result for RAWATAN

ALOR SETAR - Seiring dengan kos perubatan yang kian meningkat saban tahun, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyediakan empat jenis bantuan bagi skim bantuan di bawah asnaf miskin demi membantu golongan memerlukan.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman berkata, pertamanya bantuan rawatan bulanan untuk diagihkan kepada pesakit terpilih di seluruh Kedah.

“Sehingga 31 Mei 2017, sebanyak RM1.9 juta wang zakat diagihkan menerusi bantuan ini kepada 688 pesakit berbanding pada tempoh sama tahun lepas iaitu seramai 606 orang.

“Sebanyak RM600 sebulan diperuntukkan kepada asnaf menghidap penyakit kronik yang memerlukan rawatan secara berkala ataupun bulanan, selain tidak mempunyai pendapatan tetap atau mempunyai tanggungan ramai,” katanya.

Zakaria berkata, bantuan ini telah membantu ramai asnaf di negeri Kedah dalam meringankan beban kewangan mereka ketika menjalani pemeriksaan secara berkala.

Katanya, pesakit perlu menyediakan surat pengesahan terkini daripada pihak hospital kerajaan berkaitan penyakit dihidapi pesakit diperlukan, misalnya sakit buah pinggang, barah, ketumbuhan, leukemia, jantung atau apa-apa penyakit ditakrifkan sebagai kronik oleh pihak doktor.

Menurutnya, Zakat Kedah turut menyediakan bantuan rawatan sekaligus kepada pemohon yang diklasifikasikan sebagai bukan daripada kalangan penyakit kronik.

“Namun, pemohon mestilah terdiri daripada golongan miskin yang tidak mempunyai pendapatan mencukupi atau menerima bantuan yang tidak mencukupi daripada pihak lain,” katanya.

Sehingga kini, katanya, secara puratanya, penerima bantuan ini menerima bantuan sehingga RM2,000 mengikut kos yang dikeluarkan oleh pihak hospital dengan sokongan doktor.

Katanya, sebanyak RM1.5 juta telah diagihkan kepada 1,095 orang penerima pada tahun lepas, manakala sehingga 31 Mei lalu, sebanyak RM564,000 telah disalurkan menerusi bantuan ini.

Tambahnya, satu lagi inisiatif LZNK dalam membantu asnaf di negeri Kedah mendapatkan rawatan ialah dengan bantuan rawatan di klinik panel yang terpilih.

Katanya, semua penerima bantuan makanan dan kewangan bulanan LZNK layak menikmati bantuan ini yang ditanggung sepenuhnya Zakat Kedah.

“Sehingga akhir tahun 2016, sebanyak RM280,698 disalurkan untuk menampung pesakit LZNK untuk bantuan rawatan di klinik panel terpilih itu,” katanya.

Katanya, bantuan terbesar yang boleh dibanggakanpenduduk Kedah, adalah kewujudan Pusat Hemodialisis Zakat Kedah dilengkapi 16 mesin dialisis.

Sumber: Sinar Harian