KUALA LUMPUR - Rata-rata rakyat Malaysia mula aktif membeli-belah secara dalam talian seawal pukul 4 pagi iaitu pada waktu sahur dan peningkatan trafik itu mencapai paras tertinggi sebanyak 90.1 peratus pukul 5 pagi, sepanjang bulan Ramadan ini.
Kaji selidik oleh IPrice Group mendapati, trafik dalam talian terus meningkat selepas azan berkumandang menandakan pengguna kekal aktif pada siang hari kerana memulakan hari dengan lebih awal sebelum pergi ke tempat kerja atau sekolah.
Kajian itu juga mendapati, trafik dalam talian meningkat sehingga 21 peratus pada waktu rehat tengah hari kerana waktu itu digunakan untuk membeli-belah, berbeza dengan hari biasa sebelum Ramadan, trafik lebih tinggi pada waktu petang.
“Sepanjang bulan ini juga, trafik hanya menurun selepas pukul 3 hingga 7 petang secara beransur-ansur iaitu sebanyak 9.7 peratus kerana sebahagian besar rakyat Malaysia bersedia untuk menyediakan persiapan berbuka puasa.
“Kebiasaannya, pengguna paling aktif pada 10 malam, namun pada malam bulan Ramadan, ia adalah lebih rendah kerana mereka meluangkan masa untuk beribadah atau mengakhiri hari lebih awal sebagai persediaan hari esok,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.
IPrice Group merupakan platform perbandingan harga di Malaysia untuk beratus-ratus rangkaian e-dagang tempatan dan luar negara dan kajian yang dijalankan mengenai gelagat dan sikap pengguna membeli-belah dalam talian sepanjang Ramadan ini dengan membandingkan Ramadan tahun lalu dan hari-hari biasa.
Menurut IPrice, dalam tempoh selama 30 hari, lebih 61 peratus rakyat Malaysia akan berpuasa dan meluangkan masa dengan lebih banyak amal ibadah, justeru perubahan gaya hidup itu akan memberi kesan kepada aktiviti trafik membeli-belah secara dalam talian.
Jelasnya, berdasarkan kaji selidik itu juga, trafik membeli-belah itu akan mencapai puncak tertinggi dan paling aktif pada minggu ketiga Ramadan apabila mereka menyedari Aidilfitri akan menjelma kurang dua minggu sahaja lagi.
“Mengikut data tahun lalu, terdapat penurunan trafik pada minggu terakhir Ramadan dan akan diikuti dengan lonjakan terakhir dua hari sebelum Raya iaitu pembelian lewat, ia masih sempat dengan kecekapan sistem baharu.
“Pada hari raya, trafik akan mencapai tahap paling rendah kerana pengguna akan memfokuskan kepada sambutan Aidilfitri bersama keluarga atau rakan dan walaupun gemar membeli-belah, sambutan hari raya tetap menjadi keutamaan,” jelasnya.
Sumber: Utusan