RCI Bakal Bongkar "Kehilangan" Wang Negara Di Zaman Mahathir Yang Dulu "Ditutup"?


ALOR SETAR -Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara terperinci  kerugian urusniaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada sekitar 1980-an dan 1990-an  sudah tentu menggembirakan bekas Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.

Isu kerugian urusniaga wang negara itu  cukup panas diperbahaskan di luar mahu pun dalam Sidang Dewan Rakyat di mana Kit Siang  merupakan watak utama   yang mendesak kerajaan agar menubuhkan RCI bagi menyiasat 'skandal' tersebut

Seluruh negara  tahu, kerugian besar itu berlaku ketika Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu  (PPBM),  memegang tampuk  pentadbiran kerajaan BN.

Kini secara kebetulan,  Dr. Mahathir dan Kit Siang yang juga penasihat DAP kini bergandingan tangan di pentas politik yang sama untuk menumbangkan kerajaan BN pimpinan, Datuk Seri Najib Razak.

Siasatan RCI itu nanti tidak boleh lagi menutupi kisah sebenar di sebalik teka - teki  di mana wang negara 'disembunyikan', sebaliknya bakal merungkai isu yang berlaku kira-kira 23 tahun lalu.


Selepas Pasukan Petugas Khas (PPK) ditubuhkan baru-baru ini bagi membuat siasatan awal kerugian rezab BNM itu, Kit Siang merupakan salah seorang yang dipanggil memberi keterangan pada pasukan itu yang diketuai bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan.

Bekas Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dipanggil untuk memberikan keterangan pada 20 April sementara pada 26 Mei pula giliran bekas Menteri Kewangan Kedua,Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dipanggil mengadap pasukan petugas khas itu.

Kabinet sebulat suara bersetuju dengan syor Pasukan Petugas Khas  bahawa terdapat keperluan menubuhkan RCI bagi membolehkan siasatan terhadap kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara pada sekitar 1980-an dan 1990-an diteruskan.

PPK yang menyiasat kerugian tersebut mendapati terdapat elemen menyembunyikan fakta sebenar kerugian dengan mengemukakan maklumat yang bertujuan mengelirukan Jemaah Menteri dan Parlimen, kata satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam.

Penubuhan RCI itu juga bertujuan menjaga kepen­tingan awam, di mana kerugian sebenar BNM akibat urus niaga mata wang asing melibatkan Rizab Negara dapat dipastikan.

Baru-baru ini Kit Siang enggan menjawab pertanyaan berhubung penglibatan Tun Dr. Mahathir dalam siasatan skandal kerugian aktiviti spekulasi mata wang asing pada tahun 1990-an itu.

Tindakannya itu sekali gus menjawab telahan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang mendakwa Kit Siang tidak akan memberi maklumat berkaitan bekas Perdana Menteri itu dalam siasatan mengenai kes tersebut.

“Saya tetap dengan pendirian sejak dahulu bahawa perlu wujd RCI untuk menyiasat kerugian BNM berjumlah RM30 bilion dan bagaimana BNM boleh menanggung kerugian yang amat besar itu,” katanya Kit Siang.

Bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid mendedahkan BNM mencatatkan kerugian sebanyak RM44 bilion melalui aktiviti spekulasi mata wang asing sepanjang 1992 hingga 1993 dan ia jauh lebih besar daripada Laporan Tahunan BNM 1994 yang hanya mencatatkan kerugian sebanyak RM9 bilion
-
BNM menyambut baik pembentukan RCI oleh kerajaan untuk menyiasat secara bebas kerugian forex dan menyelesaikan peristiwa yang berlaku lebih 25 tahun lepas.

Penubuhan RCI ini merupakan satu 'kemenangan' bagi Kit Siang tetapi dalam masa yang sama akan membongkar cerita lama yang membelenggu  Dr. Mahathir, yang kini rakan seperjuangan dalam pakatan pembangkang. - Kedahnews.com