Reban Terbakar, 74,000 Ekor Anak Ayam Musnah


JOHOR BAHRU – Seorang penternak ayam mendakwa kerugian kira-kira RM1.5 juta apabila reban anak ayam miliknya di Mukim Tanjung Semberong, Yong Peng, dekat Batu Pahat, musnah dalam kebakaran, pagi ini.

Lee Swee Fong, 50, berkata kebakaran pada kira-kira 6.45 pagi itu memusnahkan kira-kira 74,000 ekor anak ayam berusia empat hari.

“Sebelum kejadian, saya ada memeriksa kawasan reban itu pada kira-kira 6 pagi tadi, namun, tiada apa yang berlaku… saya menyedari kebakaran berlaku kira-kira 6.40 atau 6.45 pagi tadi selepas mendengar jeritan empat pekerja,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Lee berkata kejadian itu merupakan pertama kali berlaku sepanjang 26 tahun terlibat dalam bidang penternakan ayam dan menurutnya nasib baik sebuah lagi reban ayam yang terletak bersebelahan tidak terjejas.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Mohd Asroy Mohd Yahaya berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian terbabit pada 7.40 pagi dan dua jentera dari Yong Peng dan Ayer Hitam bersama 14 anggota tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

“Sejurus tiba, api telahpun marak membakar keseluruhan reban ayam dua tingkat berkenaan sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira 8 pagi,” katanya.

Mohd Asroy berkata pihak bomba turut mengambil langkah pencegahan bagi mengelak kebakaran daripada merebak ke sebuah lagi reban yang terletak hanya tiga meter.

Punca kejadian sedang disiasat, katanya. – BERNAMA