RM5.4 Juta Dibayar Di Kota Setar - Perkeso


ALOR SETAR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kedah memperuntuk RM5.4 juta bagi pembayaran faedah kepada sejumlah penerima di sekitar daerah Kota Setar bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya Mamsor Abdul Manaf berkata daripada jumlah itu, RM3.2 juta untuk pembayaran faedah hilang upaya kekal (HUK) dan RM1.4 juta untuk hilang upaya sementara (HUSW).

"Selain itu, sebanyak RM229,215 untuk bayaran faedah pengurusan mayat (FPM), RM278,115.98 bagi pencen penakat, RM296,116.96 untuk pemulihan ilat dan RM14,485.95 untuk faedah orang tanggungan (FOT)," katanya kepada pemberita pada Program Sumbangan Infak Ramadan dan Sambutan Hari Raya di kediaman penerima faedah pencen ilat, Mohd Shukri Omar, 54, di Kampung Sungai Baru di sini, hari ini.

Beliau berkata terdapat penurunan sebanyak 200 kes tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Bagi 2016, terdapat 2,850 kes dengan pembayaran faedah sebanyak RM6.5 juta berbanding 2,650 kes dengan bayaran RM5.4 juta bagi tempoh Januari hingga Mei 2017.

Penurunan kes itu dibantu pelbagai aktiviti termasuk advokasi pencegahan kemalangan yang menyasarkan penunggang motosikal.

Sementara itu, beliau berkata sumbangan Infak Ramadan hari ini adalah daripada hasil kutipan kakitangan PERKESO Kedah demi membantu keluarga meringankan beban yang ditanggung.

Sebelum ini, Mohd Shukri adalah penerima faedah lain seperti elaun layanan sentiasa (ELS) dan keperluan perubatan seperti bag urin (air kencing), susu khas, kerusi roda dan lampin pakai buang sejak 2013 selepas disahkan mengidap strok.

Isterinya, Hazliza Hashim, 41, berkata, sejak suaminya jatuh sakit, beliau terpaksa menanggung segala kos perbelanjaan keluarga termasuk kos perubatan RM1,000 sebulan. - BERNAMA