Ronaldo Dapat But Baru Nike Edisi Khas


MADRID – Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo diumumkan menerima but baharu dengan memakai edisi khas pasangan kasut keluaran terbaharu Nike untuk perlawanan Piala Konfederasi FIFA.

Ronaldo bakal mengenakan kasut baharu edisi istimewa yang dikenali sebagai CR7 Mercurial Campeoes sempena Piala Konfederasi edisi ke-10 pada tahun ini yang berlangsung di Rusia dari 17 Jun hingga 2 Julai depan.
Kejohanan berprestij itu yang disertai hanya lapan pasukan kebangsaan mewakili kejuaraan benua masing-masing dan dianggap sebagai sesi ‘pemanas badan’ sebelum berlangsung Piala Dunia FIFA di Rusia pada tahun depan.

Pihak Nike bagaimanapun tidak mendedahkan harga sebenar but tersebut namun kasut sebelumnya yang pernah direka khas untuk bintang kelab sensasi Real Madrid itu dijual sebanyak AS$260 (kira-kira RM1,100).

Kapten pasukan Portugal berusia 32 tahun itu telah diberikan reka bentuk unik oleh Nike yang menyatakan ia juga sebagai meraikan pencapaian cemerlang Ronaldo sendiri selain kejayaan dikecapinya sepanjang Euro 2016.

Ronaldo yang pernh menerima anugerah pemain terbaik dunia Ballon d’Or sebanyak empat kali berharap kasut baharu itu dapat membantu mencapai prestasi yang terbaik untuk mencipta kejayaan demi negara tercintanya.

But Ronaldo kebanyakannya berwarna merah dan mempunyai lapisan sokongan khas dipasang pada buku lali dengan tanda emas Nike yang ikonik dan bendera Portugal pada bahagian tumit. – Agensi